Sudah tiba masanya nilai kompaun dinaikkan – KPN
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan susulan peningkatan ketara kes COVID-19 di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, kebanyakannya membabitkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.
Lebih memburukkan lagi keadaan, katanya, apabila ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa alasan yang kukuh.
“Sekiranya kompaun RM1,000 itu dianggap kecil, maka mereka yang degil ini pasti akan menerima padah apabila arahan menaikkan nilai kompaun ini diwartakan.
“Sudah tiba masanya untuk nilai kompaun itu dinaikkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Calon Perdana Menteri: Tiba masanya lihat kepada muka baharu – Mukhriz
Beliau berkata, anggotanya sudah diarahkan untuk mengeluarkan saman kepada mereka yang ingkar tanpa memberi ruang dilepaskan dengan amaran.
Abdul Hamid berkata, sepanjang menjalankan tugas ketika PKP dilaksanakan, seramai 474 warga PDRM positif COVID-19, manakala 1,628 lagi menjalani kuarantin.
“Amat menyedihkan apabila petugas barisan hadapan yang dijangkiti ini terpaksa dirawat oleh satu kelompok lagi petugas barisan hadapan di hospital,” katanya.
Penularan COVID-19 di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak ketika ini dengan jumlah kes harian baharu menghampiri 6,000 apabila sebanyak 5,725 kes dilaporkan semalam dan hari ini pula 5,728 kes dicatatkan. – BERNAMA
You must be logged in to post a comment.