Rakyat sedang menanti tindakan kerajaan


Semalam, 29 Januari 2021, kes positif COVID-19 sekali lagi memecahkan rekod kes harian tertinggi dengan kes baru sebanyak 5,725 kes. Hal ini menjadikan jumlah kes aktif di negara kita adalah sebanyak 45,478 kes. Ini adalah satu angka yang cukup mengerikan.

Ironinya, kes harian tertinggi ini direkodkan selepas 17 hari pelaksanaan PKP 2.0 dan juga pelaksanaan Proklamasi Darurat.

Trend kes baharu yang tidak menunjukkan sebarang tanda akan surut ini sudah pastinya akan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

Bagi ibu bapa, mereka semakin risau untuk menghantar anak ke sekolah jika PKP 2.0 ini ditamatkan pada 4 Februari kelak. Tambahan pula dengan terdapat beberapa kes yang melibatkan pelajar-pelajar peperiksaan utama yang telah dilaporkan sebelum ini.

Bagi para pekerja yang sekarang ini berstatus Work From Home, mereka pasti akan berat hati untuk kembali bekerja, apatah lagi terdapat berpuluh kluster melibatkan tempat kerja yang aktif ketika ini.

Adakah pelaksanaan PKP 2.0 ketika ini gagal mencapai matlamatnya? Adakah perlu dilaksanakan total lock down bagi suatu tempoh tertentu untuk memutuskan segala rantaian yang ada?

Saya rasa sudah sampai masanya kerajaan membuat pilihan sama ada memilih untuk menjaga ekonomi ataupun menjaga rakyat.

Jangan sampai dek kerana mahukan ekonomi kekal berjalan, rakyat yang terkesan. Malah, lebih buruk jika kita tersilap langkah, ekonomi kita hancur, rakyat kita sengsara. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Kerajaan perlu melakukan sesuatu dengan kadar segera. Rakyat sedang menanti.

Ahmad Zahid Hamidi

Lepas 2 dekad menanti, Anwar tak kisah tunggu beberapa bulan lagi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker