Pemain bola sepak tertua dunia

USIA Kazuyoshi Miura akan menjengah ke 54 tahun pada bulan hadapan dan ketika mereka yang sebaya dengannya sudah menggantungkan but bola masing-masing tetapi tidak baginya.

Dia yang lebih dikenali sebagai King Kazu dalam kalangan peminat bola sepak di Jepun telah memperbaharui kontraknya dengan pasukan Yokohama FC bagi membolehkannya terus beraksi di tengah padang.

Pembaharuan kontrak itu telah menjadikan Miura sebagai pemain bola sepak profesional tertua bukan sahaja di Negara Matahari Terbit itu, malahan di dunia.

“Musim lalu, saya berasakan cukup gembira untuk bermain bola sepak tetapi pada masa sama, dunia menghadapi situasi sukar kerana pandemik Covid-19.

“Secara peribadi itu bukan musim yang memuaskan, tetapi cita-cita dan semangat saya terhadap bola sepak semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, dia akan bekerja dengan lebih keras setiap hari dengan tujuan untuk menyumbang kemenangan pasukan musim ini dengan bermain sebanyak mungkin perlawanan.

MiURA kini beraksi dengan pasukan Yokohama FC di dalam liga J1.

Musim lalu dia bermain empat perlawanan untuk kelabnya dan menjadi pemain pertama tertua dalam sejarah yang beraksi pada usia 53 tahun sembilan bulan dalam divisyen pertama Liga Jepun (J1).

Pada tahun 2005 ketika berusia 38 tahun, Miura telah menandatangani kontrak dengan kelab yang diwakilinya kini iaitu Yokohama FC.

Pada waktu itu, pasukan itu bersaing di divisyen kedua Liga Jepun (J2).

Miura menjadi pemain utama dan telah berjaya membawa kelabnya untuk bersaing dalam J1 pada tahun 2006.

Pada tahun 2017, dia menjadi pemain tertua yang menjaringkan gol dalam pertandingan profesional.

Dalam satu temu bual bersama agensi berita Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), Miura menjelaskan, dia dibesarkan dalam keluarga bola sepak di Shizuoka.

Abangnya Yasutoshi juga merupakan seorang pemain profesional dan ayahnya adalah peminat tegar sukan tersebut.

“Ayah saya pergi ke Mexico pada tahun 1970 untuk menyaksikan kejohanan Piala Dunia di sana.

“Dia juga merakam pertandingan tersebut dengan kamera video miliknya. Pada masa itu, lagenda bola sepak dunia Pele sedang bermain dan saya membesar menonton video yang dirakam ayah saya,” katanya.

Miura baru berusia tiga tahun pada tahun 1970, tetapi dia menonton video yang dirakam ayahnya itu berulang kali dan seterusnya memberi kesan berkekalan terhadapnya untuk terlibat dalam dunia bola sepak.

Menurutnya, pada waktu itu dia menjadi peminat bola sepak untuk pasukan Brazil.

“Sejak saya masih kecil, saya mahu menjadi pemain bola sepak profesional,” jelas Miura.

Miura dilahirkan pada 26 Februari 1967 di Shizuoka, Jepun dan karier bola sepaknya bermula di Sekolah Tinggi Shizuoka Gakuen.

MIuRA menjadi pemain bola sepak paling berusia di dunia beraksi secara profesional.

Bagi menggapai impiannya itu, Miura meninggalkan sekolah di Shizuoka ketika berusia 15 tahun untuk berpindah ke Brazil.

Pada ketika itu masih belum ada liga bola sepak profesional di Jepun.

Jadi, tidak ada cara lain untuk dia menjadi pemain bola sepak profesional di Jepun, selain berhijrah keluar negara pada tahun 1982.

Ketika di Brazil, Miura telah mendaftar untuk menyertai kelab Altetico Juventus iaitu sebuah pasukan profesional yang berpangkalan di Sao Paulo.

Tetapi permulaan dia di negara itu bukan mudah.

“Saya tinggal di asrama dengan pemain muda lain yang berumur antara 15 hingga 20 tahun dan hanya boleh berbahasa Portugis sedikit sahaja.

“Tiga bulan pertama sangat sukar. Saya tidak dapat memahami bahasa dan adat juga berbeza. Secara semula jadi saya berasa kesepian,” katanya.

Pada tahun 1986, tiga tahun setelah berkelana di Brazil, Miura menandatangani kontrak bersama kelab Santos yang pernah diwakili Pele.

Dia bermain untuk beberapa kelab di Brazil termasuk Palmeiras dan Coritiba sebelum kembali ke Jepun pada tahun 1990.

Sekembalinya ke Jepun, dia menjadi bintang di negara tersebut dan bergabung dengan pasukan Yomiuri SC yang bermain dalam Liga Bola Sepak Jepun (JSL).

Dia kemudian menyertai pasukan Verdy Kawasaki dan bersaing dalam J1 yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1993.

Miura juga dinobatkan sebagai pemain paling berharga pada musim pertama J1 pada tahun tersebut.

WALAUPUN sudah menghampiri usia 54 tahun, Miura masih mampu beraksi secara profesional di atas padang.

Setahun kemudian, dia dipinjamkan ke Genoa di Itali dan menjadi pemain pertama dari Jepun beraksi di Liga ­Serie A.

Karier dia bersama pasukan kebangsaan Jepun bermula pada tahun 1990 untuk Sukan Asia.

Debut pertama bersama pasukan kebangsaan adalah menentang Bangladesh pada 26 September 1990.

Sejak itu, Miura menjadi pemain tetap untuk pasukan Jepun bagi beberapa kejohanan.

Pada tahun 1997, dia menjaringkan 14 gol untuk Jepun sewaktu perlawanan kelayakan untuk Piala Dunia 1998.

Dia juga memimpin pasukan negaranya untuk ke kejohanan Piala Dunia buat pertama kali.

Bagaimanapun, kontroversi berlaku apabila selepas itu apabila dia tidak tersenarai dalam skuad untuk beraksi di Piala Dunia 1998.

Pada Februari 2000, Miura kembali dipanggil kembali bermain untuk Jepun.

Sepanjang mewakili pasukan Jepun, dia menjadi pemain kedua yang menjadi penjaring terbanyak untuk sejarah pasukan kebangsaan dengan menghasilkan 55 gol dalam 89 perlawanan.

Dalam pada itu, Miura merupakan seorang pemain yang jarang cedera. Dia terkenal dengan tahap kecergasannya.

Menjadi rutin baginya untuk meletakkan bungkusan ais ke kakinya selepas sesi latihan.

“Yang pasti, saya memerlukan masa lebih lama daripada pemain muda untuk pulih.

“Tetapi walaupun sangat sukar, saya mempunyai semangat ingin bermain. Ini membuat saya terus maju,” katanya.

Henti puja kelab bola sepak Eropah, kata jurulatih Argentina kepada peminat Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker