Remaja campak bayi dibenar ikat jamin

GEORGE TOWN: Seorang remaja yang didakwa membunuh anak yang baru dilahirkannya dengan mencampak ke luar tingkap tahun lalu dibenar ikat jamin RM90,000 oleh Mahkamah Tinggi.

M Santhiea, 18, yang kini ditahan, dibenar ikat jamin dengan syarat melapor diri di balai polis setiap Sabtu hingga perbicaraannya bermula.

Tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.

Syarat lain termasuk larangan memohon pasport baru, dan mesti berada di rumah dari 7 malam hingga 7 pagi serta tidak boleh meninggalkan Pulau Pinang tanpa kebenaran mahkamah.

Perintah itu dibuat pesuruhjaya kehakiman, Amirudin Abd Rahman dan disampaikan oleh penolong pendaftar kanan Savinder Jugindar Singh.

Santhiea yang ditahan sejak beberapa lalu sementara menunggu keputusan permohonan jaminannya kini dibebaskan.

Pada 17 Dis, majistret Jamaliah Abd Manap membatalkan jaminan awal yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan.

Peguam Santhiea kemudian memohon jaminan, dengan alasan dia adalah seorang wanita yang sedang berdepan komplikasi selepas melahirkan anak.

Santhiea dituduh menyebabkan kematian anaknya yang baru lahir di Pangsapuri Sri Ivory di Bandar Baru Air Itam pada 8.25 pagi 10 Julai tahun lalu.

Kesalahan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, membawa hukuman mati jika disabitkan bersalah.

Selepas ditangkap, dia ditahan di Hospital Pulau Pinang untuk menjalani rawatan yang berkaitan dengan kecederaan dialami semasa melahirkan anak, kemudian dihantar ke pusat rawatan di Perlis.

Santhiea diwakili RSN Rayer, Meharaj Selvarajoo dan Shathishbabu Subramaniam.

Leave a Reply