PKP penuh? Tunggu pengumuman sebelum 4 Februari – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya seperti dilaksanakan pada 18 Mac 2020 akan diumumkan sebelum 4 Februari depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan (MoF) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, pelbagai aspek akan dipertimbangkan khususnya kesan pelaksanaan PKP penuh itu kepada sektor ekonomi dan kesihatan.

“Pelbagai reaksi timbul apabila dimaklumkan tentang pelaksanaan PKP1 (PKP sepenuhnya), ada pihak setuju dan ada yang tidak kerana mereka mahu PKP1 dilaksanakan bagi menutup sepenuhnya semua operasi iaitu tiada perniagaan dan rakyat… duduk di rumah seperti dilakukan dulu dengan alasan boleh membantu percepatkan penurunan kes harian COVID-19.

“Ramai juga tidak bersetuju, jadi ada pelbagai reaksi, mereka tidak setuju PKP1 terutamanya mereka yang berniaga atau peniaga mikro yang setengah daripada mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang serta bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian.

“Sehubungan itu, sebarang keputusan kerajaan akan dinilai secara menyeluruh dan memang aspek kesihatan kita perlu jaga, tetapi dalam masa yang sama kita mahu lindungi kepentingan rakyat terutamanya golongan miskin yang terpaksa bergantung kepada pendapatan harian,” katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi bayangan bahawa PKP di seluruh negara, kecuali Sarawak yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan.

Dr Noor Hisham, berkata keputusan itu diambil bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaan PKP.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 2.8 juta individu berdepan risiko kehilangan pekerjaan jika PKP penuh dilaksanakan kerajaan.

“Kumpulan berpendapatan rendah (B40) juga akan kehilangan pendapatan bulanan dengan purata RM2,400 sebulan membabitkan RM6.45 bilion kesan pelaksaan PKP penuh.

“Menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sejak pelaksaan PKP pada Oktober 2020, sebanyak 13,445 syarikat telah menutup operasi dan ini menyebabkan banyak pihak telah kehilangan pekerjaan.

“Oleh itu, kerajaan akan mengumumkan perkara ini sebelum 4 Februari depan dan perbincangan dengan semua pihak akan dilakukan dengan mengambil kira kesan yang akan timbul jika PKP penuh dilaksanakan baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi,” katanya.

Leave a Reply