Pemuda Umno nak pastikan parti tak berpecah

 

Pemuda Umno tidak akan menyebelahi mana-mana pihak dalam parti yang kini didakwa terbahagi kepada dua kem, kata ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebaliknya, kata Asyraf Wajdi mereka akan memastikan parti politik utama di Malaysia itu tidak berpecah.

“Kita tidak berada di mana-mana kluster (kem) tetapi Pergerakan Pemuda Umno Malaysia membuat penetapan kita sentiasa memastikan institusi parti tidak boleh berpecah dan dilihat berpecah,” katanya ringkas pada program bual bicara Minda Profesor Negara: Bicara Anak Muda mengenai Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita menerusi laman Facebook rasmi Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini.

Asyraf Wajdi berkata demikian ketika menjawab soalan moderator program itu, Dr Muhammad Asri Mohd Ali yang mendakwa wujud dua kem dalam Umno iaitu “Mahkamah” dan “Kabinet”, serta sayap pemuda itu berpihak kepada siapa.

Beberapa pemimpin Umno telah didakwa di mahkamah. Antaranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan setiausaha agung parti itu, Ahmad Maslan.

Sementara sebahagian daripada pemimpin parti itu yang tidak mempunyai kes di mahkamah menganggotai kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Asyraf Wajdi menjelaskan dalam konteks Pemuda Umno sejak awal lagi sayap itu mengambil pendekatan dan berperanan sebagai semak dan imbang dalam kerajaan hari ini.

“Apabila kita berada dalam kerajaan, sudah tentulah suasananya berbeza dan bagi Pemuda (Umno), bagi saya sendiri, saya mengambil pendekatan dan pendirian untuk tidak menerima apa juga jawatan kerana pada saya penting dalam tempoh yang ada sebagai mewakili suara anak muda dan suara rakyat.

“Pemuda Umno mesti sentiasa memainkan peranan sebagai kumpulan pengimbang terutamanya apabila isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat, itu perlu disuarakan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mahu didaftarkan sebagai sebuah parti politik masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan besar parti politik sekiranya ia berjaya didaftarkan.

“Sejujurnya saya rasa terlalu awal untuk kita tentukan (pilihan gabungan) kerana politik berubah pada bila-bila masa. Tidak pernah kita jangkakan Sheraton (Langkah Sheraton) berlaku, ia berlaku.

Sekarang ada perbincangan tentang penjajaran politik baru, tiada siapa tahu tetapi sejujurnya bagi diri saya, saya nak fokus kepada isu-isu rakyat. Kalau nak tukar kerajaan, nak fokus tukar PN, itu bukan fokus saya,” kata Syed Saddiq.

Syed Saddiq berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Muhammad Asri berhubung kecenderungan Muda kepada mana-mana gabungan besar parti politik sekiranya mereka berjaya didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Jabatan Peguam Negara pada 25 Jan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Syed Saddiq serta 12 individu bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang menolak permohonan mereka untuk didaftarkan sebagai parti politik.

– Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker