Tok Mat bimbang muncul budaya tidak sihat dalam UMNO


Memasang kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista serta kurang sopan terhadap presiden, bukan budaya dan nilai UMNO, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tegas beliau, perbuatan itu juga bukan merupakan adab dan susila ahli sebagai orang Islam dan Melayu.

“Saya telah melihat kemunculan budaya yang tidak sihat dalam UMNO kebelakangan ini dalam cara kita mendesak pengunduran presiden parti.

“Ini bukan budaya dan nilai UMNO, malah ini bukan adab dan susila kita sebagai orang Islam dan Melayu,” katanya yang dipetik kenyataan Facebooknya, hari ini.



Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin UMNO di peringkat bahagian yang mendesak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada secara terbuka mahupun dengan pemasangan kain rentang supaya melepaskan jawatan.

Mohamad yang lebih dikenali dengan Tok Mad berkata, jangan sesekali ahli terkurang hormat kepada institusi Presiden, yang wajar disantuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya.

Katanya, mereka boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana UMNO itu nilainya demokratik, tetapi jangan sampai membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah-belahkan parti.

Jelas beliau, pepatah Melayu berpesan: “Menurut biar berakal, menentang biar beradab”.



“Saya menyeru untuk semua kita kembali kepada kesatuan dalam UMNO dengan saling mendamaikan antara satu sama lain.

“Sedikit bibit perpecahan antara kita akan memberi peluang kepada lawan kita untuk meretakkan UMNO dengan sebesar-besar keretakan dan perpecahan.

“Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setiakawan dalam UMNO di adu dumba sehingga kita menjadi berseteru antara satu sama lain,” pesannya.

Namun, katanya, tiada siapa yang akan untung atas perpecahan UMNO dan tiada siapa juga yang akan menang, malah sama lebur sama binasa.



Beliau turut meluahkan kekhuatirannya jika perpecahan itu berlaku, yang akan menjadi korban ialah UMNO dan bangsa Melayu.

Justeru, kata Tok Mad, untuk kesekian kalinya beliau titipkan hikmah Melayu yang berbunyi, “antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang akan kenyang”.

“Saya menyeru kita semua bangunkan era baru untuk UMNO dengan kesatuan dan muafakat serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk.

“Era di mana perbezaan kita diuruskan dengan sopan, berhikmah dan melalui jalan yang disepakati. Era di mana parti diperkuatkan dengan iltizam untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia, Melayu, Islam dan demokrasi sebagai keutamaan dalam semua yang utama.



“Dan akhirnya, era di mana UMNO dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat Malaysia dan bangsa Melayu, bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan,” katanya bermadah. MG

Desak Zahid Undur: ‘Menurut biar berakal, menentang biar beradab’ kata Tok Mat kepada ahli Umno



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker