Kerajaan digesa kaji semula kebaikan ganja

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengkaji semula kebaikan kegunaan tumbuhan ganja yang didakwa dapat membantu ramai pesakit di negara ini sekaligus memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa akan datang.

Setiausaha Persatuan Kesedaran Malaysia atau Malaysia Awareness Society (Masa), Harish Kumar Thanabalan berkata, penguatkuasa harus faham ganja dianggap bahan terapeutik oleh pengguna dan juga pakar perubatan di luar negara.

Katanya, pihak itu mengguna pakai tumbuhan itu di negara mereka lebih puluhan tahun lalu.

Menurutnya, kesan sampingan ganja kepada pengguna lebih selamat dan semulajadi serta tidak mampu menyebabkan ‘overdose’ yang memudaratkan.

“Tahun ini waktu genting bagi Malaysia guna kaedah lebih prihatin untuk mengatasi masalah penyeludupan dan penyalahgunaan bahan-bahan substantif.

“Langkah luluskan penggunaan produk perubatan ganja mampu kurangkan jenayah di negara ini dan beri peluang untuk kawal import, eksport dan pengedaran produk tersebut dengan lebih terperinci,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat menyediakan rangka yang sesuai supaya perubatan ganja dapat dikawal dan diselia dengan betul.

Katanya, ia akan memastikan semua pesakit di Malaysia mampu memperolehi perubatan yang bersih dan efektif melalui badan yang sah dan pakar.

Menurutnya, sekiranya perubatan ganja dikaji dengan betul di negara ini dan disediakan di pasaran, pengguna akan beralih kepada pilihan yang selamat.

Adalah tidak wajar katanya menafikan akses pesakit-di negara ini daripada perubatan yang mampu menyelamatkan nyawa mereka kerana faktor-faktor berkaitan dengan penyeludupan dan penyalahgunaan bahan-bahan substantif.

“Statistik menunjukkan pengguna ganja hanya mewakili empat peratus daripada 26,791 jumlah orang mengikut pihak Agensi Anti-dadah Kebangsaan (AADK) berbanding bahan-bahan sintetik berbahaya lain iaitu 96 peratus dari jumlah yang dinyatakan,” katanya.

Sebelum ini, Senator Datuk Husam Musa berkata, ada beberapa jenis tumbuhan ganja tidak menyebabkan ketagihan kerana bakanya mengandungi bahan kimia psiko-aktif THC yang rendah.

Sebanyak 36 elemen tumbuhan ganja yang mampu merawat kanser seperti disebutkan Husam dapat diasingkan dan dikenalpasti melalui usaha ini.

Menurut Harish Kumar, negara di seluruh dunia kini mengkaji dan menggunakan perubatan tumbuhan ganja (Cannabis Sativa, Indica, Ruderalis) daripada baka (strain) yang berlainan.

Leave a Reply