Mesyuarat PN sudah hadir, sudi datang ke mesyuarat PH? Anwar tanya KSN


Anwar Ibrahim menjemput Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali menghadiri mesyuarat majlis presiden kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan datang, susulan kehadirannya pada mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) semalam.

Pengerusi PH itu berkata, Zuki perlu menjelaskan kehadiranya pada mesyuarat pimpinan PN itu demi kewibawaan pentadbiran awam negara.

“Ia (kehadiran Zuki pada mesyuarat PN) tidak selari dengan ketetapan serta peraturan bagi penjawat awam.

“Saya (pun) hendak cuba…apa salahnya dalam mesyuarat PH akan datang, saya hendak menjemput KSN untuk beri taklimat.

“Jika dia kata boleh, mungkin peraturan sudah ditukar, tetapi sekarang ini…saya rasa elok diperbetulkan supaya imej, kewibawaan, kredibiliti penjawat awam tidak terjejas sebagai memihak mana-mana pasukan politik,” katanya di Facebook.

Presiden PKR itu berkata, Zuki seharusnya tidak menghadiri mesyuarat itu, walaupun dijemput perdana menteri.

“Ini saya cuba bagi nasihat kepada KSN, beliau mewakili perkhidmatan awam dan kakitangan awam, jadi walaupun mungkin diarah oleh perdana menteri, KSN patut beri penjelasan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat majlis presiden kerajaan PN secara dalam talian.

Muhyiddin berkata, mesyuarat itu dihadiri presiden 12 parti dari PPBM, Umno, PAS, PBB, MCA, MIC, PRS, SUPP, PDP, PBS, STAR dan SAPP, manakala PBRS diwakili timbalan presidennya.

Beliau mengesahkan mesyuarat itu mendengar taklimat proklamasi darurat oleh Menteri di Jabatan Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan, Zuki dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Norhizan Ismail.

Sebelum ini, pemimpin DAP, Hannah Yeoh mempersoalkan kehadiran Zuki dalam mesyuarat majlis presiden kerajaan PN yang menganggap tindakan melibatkan penjawat awam dalam mesyuarat politik sebagai tidak profesional. FMT

Hannah Yeoh persoal Ketua Setiausaha Negara hadiri mesyuarat politik PN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker