Amaran pencerobohan hutan susulan peningkatan permintaan tumbuhan liar

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa terus mengawasi kawasan dilindungi di Sabah, termasuk Taman Kinabalu dan hutan simpan berikutan lonjakan permintaan terhadap tumbuhan liar dalam kalangan penggemar aktiviti berkebun.

Pegawai Taman-taman Sabah dan Jabatan Perhutanan Negeri berkata, pasukan penguatkuasaan kini bersiap siaga terhadap penceroboh ke kawasan dilindungi itu yang berniat mencuri tumbuhan berharga seperti Caladium dan Alocasia.

Walaupun tumbuhan terbabit bukan spesies yang dilindungi, namun pegawai mengingatkan bahawa pencerobohan ke kawasan hutan simpan adalah suatu kesalahan dan begitu juga perbuatan mencuri mana-mana tumbuhan di situ.



Pengarah Jabatan Perhutanan Frederick Kugan memberitahu FMT, pasukan penguat kuasa mengawasi penceroboh yang masuk ke dalam pelbagai hutan simpan di negeri itu.

Maipol Spait dari Taman-taman Sabah berkata: “Kami menyedari jualan tumbuhan jenis ini laris dan kami mengawasi situasi itu dengan teliti.

“Namun setakat ini kami tidak mengesan sebarang pencerobohan ke kawasan Taman Kinabalu.”

Beliau berkata, kakitangan Taman-taman Sabah di stesen Serinsim dan Sayap di bahagian utara Taman Kinabalu kini bersiap siaga.



Taman itu meliputi kawasan seluas 745km persegi, iaitu lebih dua kali ganda kawasan pulau Pulau Pinang.

Sebilangan besar tanaman liar dijual di pasar minggu di Sabah dan menimbulkan kebimbangan.

Sebahagian daripada Taman Kinabalu berkongsi sempadan dengan tanah pertanian kampung, sekali gus menyaksikan penceroboh boleh masuk dengan mudah ke kawasan yang dilindungi itu.

Maipol berkata, penduduk kampung yang membantu anggota penguat kuasa menjejak penceroboh dilantik sebagai renjer kehormat Taman Sabah.

Susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac lalu berikutan pandemik Covid-19, ramai orang beralih kepada aktiviti berkebun dan ini meningkatkan permintaan untuk tumbuhan liar.



Berikutan pelonggaran sekatan dan perjalanan antara daerah juga dibenarkan hujung tahun lalu, penggemar aktiviti berkebun menuju ke daerah terpencil seperti Kota Marudu di utara untuk mencari tumbuhan sedemikian.

Penduduk kampung kemudian mula “menuai” tumbuhan berharga itu, yang kemudian dijual di pasar tamu atau pasar tani.

Bagaimanapun, sebahagian pengunjung pasar tamu tertanya-tanya sama ada tumbuhan liar yang dijual diambil dari kawasan yang dilindungi kerana jumlahnya yang banyak.

Satu laporan di media Filipina mendedahkan tumbuhan liar berharga seperti Monstera “dicuri” dari kawasan taman dan dijual pada harga tinggi di ibu kota negara itu, Manila.



Menyifatkan kecurian tumbuhan sebagai aktiviti penebangan hutan secara kecil-kecilan, kumpulan alam sekitar memberi amaran bahawa permintaan terhadap tumbuhan berkenaan boleh menyebabkan ia pupus.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker