Unjuran pertumbuhan KDNK semakin tidak realistik, kata ahli ekonomi

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi mengkritik keputusan Putrajaya mengekalkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.5% dan 7.5% bagi 2021, dengan berkata, unjuran itu lebih tidak realistik kini berbanding semasa Belanjawan 2021 dibentangkan.

CEO Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito berkata, Putrajaya “mesti bersikap realistik” sekarang sewaktu negara berada di bawah satu lagi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, beliau menganggap unjuran itu sedia tidak realistik ketika Belanjawan dibentangkan dan kini lebih percaya bahawa ia tidak konsisten dengan hala tuju negara ini.

“Unjuran sedemikian hanya boleh diterima jika kita mengandaikan krisis Covid-19 akan tamat esok, keyakinan perniagaan dan pengguna pulih dalam satu malam dengan sempadan dibuka dan aktiviti yang terjejas semasa perintah sekatan tiba-tiba muncul semula,” katanya.

Carmelo Ferlito.

“Walaupun tanpa PKP 2.0, saya fikir kita perlu jangkakan unjuran punca ganda terbalik, yang bakal menyaksikan pemulihan fisiologi susulan pelonggaran beberapa peraturan sekatan akan diikuti oleh pertumbuhan lebih mendatar, jika pun bukan pertumbuhan negatif.”

Katanya, bagi menghindari unjuran keluk KDNK yang mendatar, kerajaan perlu mengelakkan penutupan menyeluruh, menggubal strategi ekonomi yang jelas dan memastikan iklim politik stabil.

Beliau berkata, strategi “sekatan bertingkat-tingkat” yang digunakan di Malaysia akan menghakis keyakinan komuniti perniagaan dan menghalang syarikat daripada membuat pelaburan baharu.

Katanya, keengganan itu boleh dilihat pada pelabur asing dan domestik.

Beliau memberitahu, 16 syarikat dari China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini berpindah ke Indonesia.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, Putrajaya mengekalkan sasaran pertumbuhan KDNK 6.5% hingga 7.5% bagi tahun ini walaupun darurat diisytiharkan dan PKP kedua dilaksanakan.

“Masih awal lagi dan kita masih di suku pertama tahun ini,” katanya.

“Jadi kita kekalkan (buat masa sekarang), tetapi unjuran kita berisiko memandangkan (apa yang berlaku) semasa PKP 2.0.”

Tengku Zafrul juga berkata, Putrajaya menjangka negara akan kerugian RM700 juta setiap hari kerana PKP.

Yeah Kim Leng.

Yeah Kim Leng, profesor ekonomi di Universiti Sunway berkata, kerugian harian sebanyak RM700 juta itu akan meningkatkan risiko tidak tercapainya unjuran.

PKP selama lapan minggu akan menyebabkan kurangan lebih 2% daripada KDNK, katanya kepada FMT.

“Pandangan menteri kewangan bahawa terlalu awal untuk menyemak semula paras pertumbuhan KDNK bagi 2021 adalah wajar dan boleh dijustifikasikan memandangkan kita hanya berada beberapa minggu dalam tahun baharu,” katanya.

“Julat unjuran rasmi akan diteliti lebih rapi dan disesuaikan jika perlu apabila bank pusat mengeluarkan laporan tahunan dan prospek ekonominya untuk tahun ini pada akhir Mac.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker