Hairan kepada kerajaan tak berani sentuh golongan kaya, pemilik bank’ – Anwar Ibrahim

 

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang tidak melaksanakan dasar moratorium pinjaman secara automatik seperti sebelum ini kerana mereka tidak berani ‘menyentuh’ golongan kaya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata sepatutnya dilaksanakan seperti ketika negara berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac tahun lalu.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata golongan yang takut disentuh oleh kerajaan itu merujuk kepada pemilik bank yang ada di negara ini.

Katanya PN ketika ini dilihat langsung tidak mencuba untuk mengadakan perbincangan dengan pemilik bank bagi membantu meringankan beban rakyat yang berhutang selepas moratorium terdahulu tamat pada 30 Sept lalu.

“(Berdasarkan) pengalaman saya yang sedikit ini, saya ingin nyatakan bahawa cara menangani masalah ekonomi dalam krisis tidak sama (dengan) dalam keadaan biasa.

“Sebab itu soal defisit, soal hutang termasuk soal moratorium harus difikir dari sudut mendesak (demi) untuk menjaga kepentingan rakyat dan tidak melemahkan kedudukan ekonomi,” katanya.

Menurut ahli parlimen Port Dickson itu lagi moratorium pinjaman bank ini harus ditampung semua pihak.

Sebelum ini kata Anwar dia ada berbahas di Dewan Rakyat dan memaklumkan keuntungan setahun dan keuntungan suku tahun semua bank masih tinggi walaupun semasa wabak Covid-19 melanda.

“Jika tak salah saya, antara RM7 bilion hingga RM8 bilion untuk suku tahun.

“Takkanlah tak boleh bantu menampung beban yang dipikul oleh rakyat? Sebab itu saya tanya menteri kewangan ini, (dia) mewakili bank atau mewakili rakyat?

“Tapi dia tak jawablah, sampaikan langkah langkah kita itu tidak berani langsung nak sentuh bank,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa ditanya dalam program bual bicara Minda Profesor Negara yang disiakan secara langsung melalui Facebook hari ini.

Terdahulu Anwar diminta mengulas mengenai kesan moratorium sama ada ia memberi kebaikan pada masa ini atau boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi secara umum.

Isu moratorium menyeluruh dan automatik banyak diperkatakan pelbagai pihak sebelum ini, termasuk menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada tahun lalu.

Selain pembangkang ia turut menjadi desakan Umno – parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun permintaan itu tidak dilaksanakan termasuk apabila Putrajaya mengisytiharkan darurat pada 12 Jan lalu, serta pelaksanaan PKP 2.0.

Sebaliknya kerajaan hanya melaksanakan moratorium bersasar untuk sesetengah pihak dan ia untuk mendapatkannya mereka mesti membuat permohonan kepada bank.

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyddin Yassin pada 18 Jan lalu juga mendapat kritikan pelbagai pihak kerana ia dianggap sekadar mengulang atau menambah baik apa yang disebut dalam belanjawan sebelum ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker