Pemuda UMNO senarai 7 sebab mengapa moratorium automatik perlu dilaksanakan

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyenaraikan tujuh alasan yang mengaitkan dengan ekonomi terhadap keperluan untuk melanjutkan moratorium.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kehidupan rakyat kini lebih susah kerana lebih ramai yang hilang pekerjaan, gaji dipotong atau dikurangkan elaun selain perniagaan terjejas teruk sehingga ada yang gulung tikar.

“Kedua, oleh kerana keadaan ekonomi negara dijangkakan akan turut terjejas kerana perlaksanaan PKP 2.0 dan proklamasi darurat, sektor perniagaan serta industri kecil dan sederhana antara yang paling terkesan dan belumpun sempat pulih setelah PKP pertama, pastinya akan memberi kesan gandaan negatif kepada ekonomi,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, moratorium diberikan sekurang-kurangnya enam bulan pada PKP 1.0 sebelum ini ternyata sektor perbankan terus mencatatkan keuntungan besar pada tahun lepas.

“Tidak dinafikan ada sedikit penurunan keuntungan sektor perbankan, tetapi jauh sekali mengalami kerugian,” tambahnya.

Tambahnya, rasional ekonomi terpenting ketika krisis adalah untuk memastikan rakyat boleh terus berbelanja agar kitaran wang terus rancak bagi memastikan permintaan dalam ekonomi berkembang, sekaligus mengelakkan pengucupan ekonomi.

Justeru ujar Asyraf, penangguhan bayaran pinjaman untuk tempoh masa tertentu boleh mengurangkan ketirisan keluar aliran kewangan daripada kitaran ekonomi hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara dan menyukarkan proses pemulihan ekonomi itu sendiri.

Menurut beliau lagi, pelanjutan tempoh moratorium secara automatik tidak akan membawa masalah kepada bank kerana dalam laporan Bank Negara Malaysia (BNM) terbaru berkenaan Kestabilan Kewangan di bawah tajuk Financial Institution Soundness and Resilience jelas menyatakan bahawa sektor perbankan di Malaysia berada dalam kedudukan modal yang ampuh dengan Aggregate Capital Buffers berjumlah RM121.6 billion.

“Ini bermakna, sektor perbankan pada kedudukan yang kukuh untuk menyerap sebarang tekanan dan kerugian jangka pendek,” kata beliau lagi.

Katanya, dengan kekukuhan sektor kewangan yang punya ketahanan modal yang baik (well capitalised), perintah moritorium secara automatik wajar diberi keutamaan bagi mengurangkan tekanan ekonomi dalam sektor ekonomi benar terutama yang melibatkan perbelanjaan kepenggunaan.

“Justeru, dengan tujuh rasional ekonomi di atas, Pemuda UMNO mengharapkan agar kerajaan dapat memanfaatkan kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk membuat pengarahan jelas kepada pihak institusi kewangan bagi tujuan lanjutan moratorium secara otomatik dengan kriteria terentu dan bukannya diserahkan kepada budi-bicara bank semata-mata,” kata beliau. -MalaysiaGazette

Leave a Reply