Lelaki Boleh Mandul Jika Dijangkiti Covid-19

LONDON – Jangkitan Covid -19 berisiko menyebabkan kemandulan pada lelaki kerana virus tersebut berupaya mengurangkan kuantiti dan kualiti sperma, demikian amaran dikeluarkan saintis dalam satu penemuan terbaharu.

Dalam satu penyelidikan yang diterbitkan dalam Jurnal Open Biology kelmarin, penyelidik menggariskan kesan membimbangkan kepada pasangan yang pernah dijangkiti Covid-19 untuk mendapatkan anak.

“Sistem pembiakan lelaki telah disimpulkan sebagai sasaran utama paling berpotensi mendapat jangkitan Covid-19 yang disokong oleh beberapa bukti awal dan mengurangkan tahap kesuburan seseorang itu.

“Ini boleh menimbulkan ancaman global terhadap potensi kesuburan lelaki kerana golongan ini lebih mudah mendapat jangkitan Covid-19 berbanding wanita terutama pada usia yang sesuai untuk mendapatkan cahaya mata,” tulis abstrak kajian.

Laporan awal turut menunjukkan kemungkinan penularanCovid-19 secara seksual boleh menyebabkan komplikasi teruk pada pasangan yang dijangkiti.

Penyelidik telah mengenal pasti empat cara utama di mana virus korona dapat mempengaruhi kesuburan lelaki dengan kaedah pertama adalah pencerobohan yang disasarkan.

Pasukan penyelidik percaya kehadiran reseptor ACE2 (lokasi paling senang dijangkiti koronavirus) di testis menjadikan sel genital atau alat sulit lelaki sebagai sasaran jangkitan yang berpotensi.

Cara kedua adalah menerusi keradangan yang disebabkan oleh virus Covid-19 yang boleh menyebabkan kerosakan kekal pada tisu pembiakan lelaki.

Keradangan di sekitar jantung juga dapat menyekat atau menurunkan bekalan darah ke zakar yang akan mengakibatkan kegagalan ereksi.

Cara ketiga kesan virus korona terhadap kesuburan lelaki adalah menyebabkan keradangan di seluruh sistem badan yang menjadikan tahap hormon kesuburan mereka tidak stabil.

Faktor keempat adalah tekanan perasaan yang diketahui mempengaruhi kesihatan seksual dan telah menjadi isu bagi ramai orang sepanjang penularan wabak ini.

Covid-19 juga dapat meningkatkan tekanan oksidatif badan ke tahap yang tinggi sehingga dapat mempengaruhi bentuk, jumlah, daya maju dan “kemampuan berenang” sperma.

“Lelaki yang dijangkiti Covid-19 perlu diberi konsultasi psikologi bagi mengelakkan ketakutan yang tidak rasional dan tekanan yang berlebihan kerana ini secara tidak langsung dapat mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan sistem pembiakan mereka,” kata salah seorang penyelidik, Prof Shubhadeep Roychoudhury. – Agensi

Sumber: Mail Online

Leave a Reply