Warkah kepada Agong cecah bilangan majoriti – Anwar
PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa bilangan warkah yang telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan Proklamasi Darurat mencecah bilangan majoriti ahli Parlimen.
Menurut Anwar, warkah yang meminta ehsan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempertimbangkan semula Proklamasi Darurat itu telahpun dihantar semalam.
Selain ahli Parlimen Pembangkang, turut mengirimkan surat adalah beberapa orang ahli Parlimen Kerajaan.
“Sekarang ini ahli Parlimen yang menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong itu sudah mencecah lebih dari majoriti.
“Bukan membantah tetapi merayu ehsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menimbang, memperlihat semula, mengkaji alasan-alasan yang dibawa oleh Perdana Menteri itu tidak munasabah. Tidak cukup kuat. Maka mohon Yang di-Pertuan Agong menimbang,” kata Anwar dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, penyertaan beberapa ahli Parlimen Kerajaan mengirim warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menunjukkan kesediaan mereka untuk bermuafakat dan bekerjasama bagi membentuk satu pentadbiran yang lebih stabil untuk menjaga kepentingan rakyat.
Menurut Anwar, pihaknya akan menerima keputusan yang akan dibuat Al Sultan Abdullah atas kebijaksanaan Baginda.
Anwar berkata, menafikan warkah tersebut sebagai satu bentuk serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
“Warkah kita itu merujuk kepada perisytiharan darurat dan memohon ehsan kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong melihat hujah kami kemukakan kalau diperkenankan untuk ditimbang,” kata Anwar.
Anwar berkata, walaupun darurat diisytiharkan Parlimen sebenarnya mampu untuk berjalan seiring dan ada peruntukan dalam Perlembagaan.
Beliau mempersoalkan mengapa perlunya sidang Parlimen dihalang sedangkan beberapa institusi seperti tadika, sekolah dan urusan lain dibolehkan.
Pada 14 Januari lalu Anwar meminta semua ahli Parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin.
Dalam surat yang dihantar kepada ahli parlimen, Anwar meminta mereka menulis warkah tersebut Jumaat ini supaya parlimen dapat bersidang sebelum 31 Januari.
Pada 12 Januari, Al Sultan Abdullah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Darurat dilaksanakan bagi membendung wabak Covid-19.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas selepas itu berkata parlimen akan digantung dan pilihan raya tidak akan diadakan, tetapi badan kehakiman, kerajaan awam dan kegiatan ekonomi akan berjalan seperti biasa. SM
Kenyataan Media: Anwar Tidak Putus Asa, Gesa MP Utus Warkah Pada Agong, Batalkan Barurat