Jawatan Presiden UMNO: Saya tidak mahu menambah duka
MAHU membiarkan ribut reda dan tidak mahu menambah duka merupakan jawapan terhadap sikap membisu Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkaitan isu jawatan tertinggi parti itu.
Menurutnya, ketika ini apa yang lebih utama kepadanya adalah untuk memperkasakan dan memenangkan parti UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Ramai orang tertanya-tanya. Mengapa saya membisu seribu bahasa. Bagi saya, biarlah ribut ni reda. Saya tak mau menambah duka. Yang penting parti mesti di perkasa. PRU 15 kita nak jadi juara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas beliau isu jawatan parti boleh diselesaikan pada pemilihan UMNO yang dijadual berlangsung tahun ini.
Ketika pemilihan nanti, setiap ahli mempunyai peluang untuk memilih pemimpin yang mereka mahukan.
Sementara menunggu pemilihan berlangsung setiap anggota parti dinasihatkan untuk kekal bertenang dan pastikan keselamatan terpelihara.
“Bila sampai masa pemilihan parti untuk di kota. Pilihlah nanti pemimpin kesukaan kita. Ketika itu tepuk dada tanyalah selera.
“Jika itu satu-satu nya cara. Untuk tenangkan jiwa yang lara. Meanwhile stay calm, stay safe brothers and sisters,” katanya.
Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu berkata, ramai yang akan gembira sekiranya parti UMNO berpecah-belah dan bergolak.
Justeru dia mengajak setiap ahli untuk kekal berpakat, bertenang dan bersependapat supaya parti kekal aman bagi menghadapi PRU-14.
“Jika kita berpecah ramai yang seronok. Kita berkecamuk ramai yang gembira. Ayuh kita cari mana yang elok. Elakkan yang cela hilangkan lah lara.
“Susunlah langkah menuju hala. Pakat pakatlah untuk bertenang seia sekata. Jangan parti berkecamuk dan bergelora. PRU 15 mesti jadi Keutamaan kita,” kata Mohamad.
Ketika ini beberapa ahli UMNO secara terbuka meminta Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melepaskan jawatan Presiden UMNO.
Ada yang melihat Mohamad sesuai untuk menjadi presiden UMNO yang seterusnya.
Beberapa hari yang lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ahmad Zahid bersetuju agar pemilihan UMNO berlangsung tahun ini. SM