Paip air pecah: 2 kenderaan ditenggelami lumpur, laluan ditutup

CHUKAI: Paip air di hadapan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pecah, malam tadi, menyebabkan kawasan berlubang dianggarkan seluas tiga meter yang dipenuhi air dan lumpur.

Malah dalam insiden kira-kira jam 11 malam itu, dua kenderaan milik anggota IPD itu yang diparkir di lokasi terbabit turut mengalami kerosakan akibat ditenggelami lumpur.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata susulan kejadian itu, laluan kedua-dua arah sejauh 200 meter di hadapan IPD berkenaan ditutup kepada semua kenderaan.

“Insiden itu menyebabkan kawasan berlubang dianggarkan seluas tiga meter di lokasi terbabit.

“Kami tidak pasti berapa kedalaman lubang itu kerana kawasan berkenaan dipenuhi air dan lumpur” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, dua kenderaan ditenggelami lumpur akibat kejadian itu pula adalah milik anggota yang bertugas membuat kawalan sekatan jalan raya di sempadan Kemaman/Kuantan di Kampung Paya Berenjut, di sini.

“Kejadian itu menyebabkan air melimpah masuk ke ruang balai dan lokap hingga paras buku lali.

“Kerja pembersihan dilakukan, namun kejadian itu tidak membabitkan kerosakan harta benda di dalam premis,” katanya.

Hanyan berkata, pihaknya tidak pasti punca paip terbabit pecah, namun Syarikat Air Terengganu (SATU) sudah mengambil tindakan berhubung kejadian itu.

Beliau sekali gus memaklumkan, kejadian sama pernah berlaku pada November tahun lalu.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker