Covid-19, SPM dan banjir: Ini kisah calon SPM 2020
Tinggal lebih kurang sebulan sebelum SPM tiba, ada pelajar terpaksa mengharungi musim banjir yang menjejaskan persiapan mereka untuk peperiksaan penting itu.
Nur Atiqah binti Muhammad Fauzian, 18, hanya mampu melihat buku-bukunya dibawa arus kerana rumahnya yang terletak di Kampung Kuala Dong, Pahang tenggelam akibat banjir.
Pelajar MRSM Tun Ghazali Shafie itu berkata mereka sekeluarga terpaksa berpindah sementara di pusat pemindahan Dewan Kampung Pia selama tiga hari pada 3 Januari lalu.
“Rumah saya pernah sekali dilanda banjir. Itu pun masa banjir besar tahun 2014. Semasa itu air naik ke paras dada. Banjir kali ini kami tak sangka pun akan tenggelam satu rumah,” katanya.
Menceritakan pengalamannya kepada Malaysiakini, Atiqah berasa sayu melihat persiapannya untuk SPM tergendala kerana buku-buku latihan hanyut dan tidak sempat diselamatkan sewaktu berpindah ke pusat pemindahan.
“Buku-buku saya ada yang hanyut kerana air yang deras, ada yang basah kena air tanah. Saya pula ada peperiksaan percubaan minggu ini. Nak ulang kaji seminggu yang terakhir sebelum percubaan SPM itu sangat mencabar,” katanya.
Menurut anak kedua daripada tujuh adik beradik itu, walaupun dirinya terjejas akibat banjir namun pembelajaran masih diteruskan seperti biasa dan keadaan sekeliling menyebabkan dia tertinggal pelajaran.
“Kelas atas talian masih berjalan seperti biasa tapi kadang-kadang saya ada juga tertinggal disebabkan kekangan masa dan gangguan internet,” jelasnya.
Atiqah dan rakan-rakannya kini sedang menduduki Peperiksaan Percubaan Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) yang tertangguh disebabkan mereka diarah pulang ke rumah masing-masing pada bulan Oktober.
Peperiksaan SPM yang ditunda pada 16 November lalu akan diadakan pada 22 Februari sehingga 25 Mac ini.
“Ramai kawan-kawan saya daripada Kuala Lipis, Temerloh dan Raub mengalami situasi yang sama, ada yang rumahnya tenggelam sampai habis dan ada juga yang terjejas sedikit,” katanya yang bakal menduduki sembilan subjek untuk SPM pada Februari ini.
Menurutnya, keadaan kini menyukarkannya untuk belajar dengan lebih fokus, tambahan pula pembelajaran atas talian tidak membantu terutamanya untuk subjek Fizik.
“Saya paling lemah dalam subjek Fizik, saya tidak boleh belajar bersendirian mahupun belajar atas talian, sebaliknya saya lebih mudah faham belajar di dalam kelas,” katanya.
Hilang motivasi untuk duduki SPM
Atiqah juga berkata dia hilang motivasi untuk menduduki SPM.
“Lepas apa yang berlaku, saya terus hilang motivasi. Saya percaya bukan saya seorang yang rasa benda sama. Mula-mula pandemik Covid-19 kemudian belajar atas talian dan sekarang banjir. Kami bukannya 100 peratus faham kalau belajar di rumah.
“SPM ditunda beberapa kali sampai satu tahap dah tak ambil kisah. Ramai antara kami yang tak tidur siang untuk belajar saja, bila dapat tahu kena balik rumah bulan Oktober, kami terus tak ada semangat nak belajar,” katanya yang sukar menumpukan pelajaran di rumah akibat bunyi bising adik beradik yang lain.
Atiqah juga berpendapat situasi calon SPM yang menjadi mangsa banjir amat merisaukan dan menganggu kesihatan mental mereka.
“Terdapat rakan-rakan yang kurang berkemampuan dari segi kewangan dan mempunyai masalah internet turut terjejas dalam ‘online learning’ mereka,” jelasnya.
Hampir putus asa
Di Terengganu pula, seorang pelajar SMK Tun Telanai hampir putus asa dengan situasi yang dihadapi.
Amirul Mukminin bin Mohd Sukri, 18, berkata keadaan di pusat pemindahan SK Banggol Katong menyebabkan dia tidak dapat mengulang kaji untuk SPM.
“Di pusat pemindahan bagi saya memang tak boleh ulang kaji langsung disebabkan keadaan yang bising. Kelas masih berjalan dalam talian cuma saya tak dapat masuk disebabkan hujan lebat jadi talian internet terganggu. Saya memang tertekan dengan situasi ini,” katanya.
Menurut Mukminin yang mengambil aliran seni untuk SPM, dia tidak dapat menyelamatkan buku-buku latihan SPM yang basah akibat banjir.
Disebabkan kerosakan bahan belajar, Mukminin terpaksa meminta bantuan rakan-rakan untuk mengambil gambar nota dan belajar hanya melalui telefon.
“Bagi saya belajar dalam talian tak membantu sebab tak masuk pun dalam kepala apa yang diajar sebab tak boleh nak berhadapan dengan guru-guru.
“Kadang-kadang bila belajar mengunakan Whatsapp memang susah sebab terlalu ramai pelajar dalam kelas dan bila berbincang dengan guru memang akan mengambil masa yang lama. Tambahan pula, bukan semua pelajar ada akses untuk masuk ke kelas menggunakan Google Meet,” katanya yang mengakui tertekan untuk fokus kepada SPM.
Terlalu penat untuk belajar akibat banjir
Mustaqim Hakimi Bin Rozlan, 18, juga antara calon SPM yang sayu melihat rumahnya tenggelam kerana banjir.
Mustaqim dan keluarga tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan disebabkan jalan raya di Kampung Kuala Kechau, Kuala Lipis yang sudah tenggelam pada awal musim banjir.
Pelajar MRSM Tun Ghazali Shafie itu berkata mereka sekeluarga hanya sempat menyelamatkan barang-barang ringan seperti baju dan periuk nasi.
Malangnya, dia tidak dapat menyelamatkan semua buku yang dibeli untuk ulang kaji SPM.
Ketika calon SPM lain mula pecutan terakhir untuk SPM, Mustaqim pula sibuk membantu keluarga berpindah rumah sehingga tertinggal kelas.
“Keadaan sekeliling yang kurang baik buat saya tertinggal kelas dalam talian. Saya juga banyak luangkan masa untuk membantu saudara-mara berpindah,” katanya.
Mustaqim yang kini sedang menduduki SPMRSM berkata dia masih belum bersedia untuk peperiksaan itu.
Tangguh ulangkaji
Sementara itu, Adibah Safiyyah Sahabuddin, 18, menceritakan bahawa terpaksa menangguhkan ulang kaji SPM kerana menghadapi musim banjir.
Adibah yang tinggal bersama keluarga di Taman Bukit Angin, Temerloh, berkata disebabkan banjir besar pada 2014, mereka sekeluarga sudah bersedia untuk menghadapi banjir kali ini.
Nasib calon SPM 2020: Menteri Pendidikan usah terlalu bermimpi
Menurutnya, rumahnya yang terletak berdekatan dengan tasik membuatkan keluarganya mengambil langkah berjaga-jaga untuk menyelamatkan barang-barang dalam rumah.
“Kami sudah pindahkan barang-barang ke stor bahagian atas rumah untuk elak rosak kena air.
“Kalau rumah naik air banjir, kami mungkin tidak akan terjejas teruk kerana kami sudah buat persediaan,” katanya.
Walaupun tidak terjejas teruk akibat musim banjir, Adibah seperti calon SPM yang lain turut terkesan dengan keadaan negara sekarang.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong itu, peperiksaan percubaan SPM yang agak sukar membuatkannya tertekan untuk mencuba lebih baik bagi peperiksaan sebenar Februari ini.
“Saya agak tertekan sekarang untuk membuat persiapan SPM, ini masanya untuk tebus balik keputusan percubaan SPM saya.
“Subjek sains saya agak lemah. Jadi saya belajar dari pagi sampai petang untuk dapat keputusan yang lebih baik dari percubaan.
“Tambahan pula, saya ambil subjek agama sekali jadi saya harus mula ulangkaji peperiksaan hafazan SPM lebih awal dari pelajar lain,” katanya yang mengambil aliran sains agama.
You must be logged in to post a comment.