Jumlah bom digugurkan Israel di Gaza menyamai dua bom nuklear

Jumlah bom digugurkan Israel di Gaza menyamai dua bom nuklear

GENEVA: Israel menggugurkan lebih 25,000 tan bahan letupan di Semenanjung Gaza sejak permulaan perang besar-besaran pada 7 Oktober lalu, yang bersamaan dengan dua bom nuklear, kata Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med (Euro-Med Monitor), hari ini.

Pertubuhan hak asasi manusia yang berpangkalan di Geneva itu, dalam kenyataan berkata, tentera Israel mengaku mengebom lebih 12,000 sasaran di Semenanjung Gaza, dengan rekod bom melebihi 10 kilogram (kg) bahan letupan setiap satu.

Berat bom nuklear yang dijatuhkan Amerika Syarikat (AS) di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua pada Ogos 1945 dianggarkan kira-kira 15,000 tan bahan letupan.

Euro-Med Monitor berkata, disebabkan perkembangan teknologi yang memberi kesan kepada potensi bom, bahan letupan yang dijatuhkan di Gaza mungkin dua kali lebih kuat daripada bom nuklear.

Ini bermakna kuasa pemusnah bahan letupan yang dijatuhkan di Gaza melebihi kuasa bom yang dijatuhkan di Hiroshima, di mana kawasan bandar Jepun itu adalah 900 kilometer (km) persegi, manakala kawasan Gaza tidak lebih 360 km persegi.

Kumpulan hak asasi itu menekankan Israel menggunakan bom dengan kuasa pemusnah yang besar, dengan beberapa daripadanya antara 150 hingga 1,000 kg dan memetik kenyataan Menteri Perang Israel, Yoav Gallant, baru-baru ini, yang mengisytiharkan lebih 10,000 bom digugurkan di Gaza City.

Euro-Med Monitor berkata, penggunaan senjata yang diharamkan antarabangsa oleh Israel dalam serangannya di Semenanjung Gaza didokumenkan, terutama penggunaan bom berkelompok dan fosforus, iaitu bahan toksik berlilin yang bertindak balas dengan cepat kepada oksigen dan menyebabkan kebakaran darjah kedua dan ketiga teruk.

Euro-Med Monitor turut mendokumenkan kes kecederaan dalam kalangan penduduk Gaza akibat serangan udara Israel, yang serupa dengan yang disebabkan kluster bom berkenaan.

Bom kecil dengan letupan kuat itu menyebabkan luka ditembusi serpihan dan letupan di dalam badan, menyebabkan mangsa melecur teruk dan mencairkan kulit, yang kadangkala menyebabkan kematian.

Serpihan daripada bom berkenaan menyebabkan pembengkakan dan keracunan yang luar biasa pada badan, ditambah dengan kecederaan dalaman daripada serpihan lutsinar yang tidak kelihatan pada x-ray.

Penggunaan bom dengan letupan kuat oleh Israel di kawasan berpenduduk padat menimbulkan satu-satunya ancaman terbesar kepada orang awam dalam konflik bersenjata moden, kata Euro-Med Monitor, dan menerangkan tahap meratakan sepenuhnya kejiranan di Gaza dan keparahan kemusnahan yang meluas di sana.

Ia seterusnya menegaskan serangan Israel yang merosakkan dan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang menetapkan bahawa perlindungan orang awam adalah wajib dalam semua kes dan dalam apa jua keadaan, dan membunuh orang awam dianggap sebagai jenayah perang bagi konflik bersenjata peringkat antarabangsa dan bukan antarabangsa serta mungkin jenayah terhadap kemanusiaan.

Konvensyen The Hague 1899 dan 1907 serta Konvensyen Geneva 1949, kedua-duanya mengawal selia hak asasi manusia ketika perang bagi mencegah kesan kesihatan maut daripada senjata yang dilarang undang-undang antarabangsa, sesetengahnya kerana ia berpotensi menyebabkan “pembunuhan beramai-ramai”.

“Serangan atau pengeboman, dengan apa cara sekali pun, di bandar, kampung, kediaman atau bangunan yang tidak dilindungi adalah dilarang,” demikian menurut Perkara 25 Peraturan-Peraturan Den Haag berkaitan dengan undang-undang dan adat perang darat yang dilarang.

Sementara itu, Perkara 53 Konvensyen Geneva Keempat menyatakan “Sebarang kemusnahan oleh Kuasa Menduduki harta tanah atau harta peribadi yang dimiliki secara individu atau secara kolektif kepada orang persendirian, atau kepada negara, atau kepada pihak berkuasa awam yang lain, atau kepada organisasi sosial atau koperasi, adalah dilarang, kecuali jika pemusnahan sedemikian sangat diperlukan oleh operasi ketenteraan.”

Pelanggaran Perkara 147 Konvensyen Geneva Keempat dianggap sebagai pelanggaran serius terhadap Undang-undang Konflik Bersenjata, justeru dianggap sebagai jenayah perang.

Euro-Med Monitor menggesa pembentukan jawatankuasa antarabangsa bebas untuk menyiasat jumlah bahan letupan dan senjata terlarang antarabangsa yang digunakan Israel terhadap orang awam di Semenanjung Gaza.

Pertubuhan itu juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk mempertanggungjawabkan semua pihak yang terbabit atas serangan tidak berperikemanusiaan itu dan mengambil sebarang langkah yang perlu untuk menjamin keadilan bagi mangsa Palestin. – AGENSI

Jumlah bom digugurkan Israel di Gaza menyamai dua bom nuklear

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Wanita jerit ‘Allahu Akbar’ di dalam kereta api ditembak mati polis di Paris

‘Non muslim reading Quran’ trending di TikTok (Video)

Tidak peka nasib Palestin, Fasha Sanda kena cop ‘bodoh’

Mat Coffee kini dibuka, lupakan Starbuck

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker