Warkah terbuka untuk Anwar
YB Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Saya kecewa apabila membaca berita mengenai memo yang dihantar oleh Datuk Seri kepada semua Ahli Parlimen, memujuk mereka menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan baginda bagi membatalkan Ordinan Darurat dan menitah diadakan sidang Parlimen.
Persoalannya, adakah sekarang masa yang sesuai untuk tindakan sedemikian, sedangkan langkah paling molek dikompromi adalah ‘gencatan politik’, memberi masa kepada kerajaan sedia ada mengatasi isu kesihatan dan ekonomi yang sedang mengancam.
Adakah perlu mempersoalkan proklamasi darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan tujuan mengekang penularan Covid-19? Adakah Datuk Seri tidak percaya dengan ikhtiar diambil kerajaan selepas mendengar pendapat dan pandangan pakar-pakar berkaitan?
Apakah Datuk Seri tidak percaya kepada pertimbangan dan kebijaksanaan Seri Paduka? Adakah Datuk Seri lupa titah baginda sebelum ini yang memberi peringatan kepada ahli politik agar menghentikan segala perbalahan sehingga mengganggu tugas pentadbiran negara.
Baru tiga bulan lalu, Yang d-Pertuan Agong mengingatkan semua Ahli Parlimen bahawa tiada keperluan untuk mereka meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab sehingga menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.
Ketika itu juga, baginda berpendapat tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia. Keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan Raja-Raja Melayu kerana Seri Paduka dan Raja-Raja melihat kerajaan berjaya menangani wabak Covid-19 dengan berkesan.
Itu keadaan beberapa bulan lalu, berbeza dengan sekarang apabila gelombang ketiga pandemik menyerang, menyaksikan kes-kes baharu Covid-19 sudah mencecah empat angka dan kes kematian pula direkodkan hampir setiap hari.
Saya percaya majoriti rakyat menyokong keputusan baginda, begitu juga dengan parti-parti politik utama. Pemimpin dan bekas pemimpin UMNO misalnya, tidak pun menentang, cuma berpesan agar pelaksanaan darurat tidak disalah guna.
Sebab itu, saya mahu bertanya kepada Datuk Seri, mengapa perlu diajak semua Ahli Parlimen mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon darurat dibatalkan dan sidang Parlimen diadakan sebelum 31 Januari ini?
Saya tidak mahu menelah, tetapi mungkin ada yang melihat tindakan Datuk Seri itu seperti mahu mengaibkan Seri Paduka, mungkin juga ada yang menganggap ia cubaan melagakan rakyat dengan istana.
Perlukah diulangi sejarah empat tahun lalu ketika Datuk Seri sering mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor dan institusi Raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar sehingga darjah kebesaran dikurniakan Istana Selangor kepada Datuk Seri, ditarik balik.
Adakah tindakan terbaru tatkala negara sedang berdepan krisis ketika ini kerana mahu merebut kuasa walaupun skripnya berbeza dengan cubaan Datuk Seri menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Oktober lalu, mendakwa mendapat cukup sokongan Ahli Dewan Rakyat, tetapi sekadar mengemukakan jumlah tanpa senarai nama mereka untuk mengukuhkan dakwaan itu.
Adakah Datuk Seri mahu membuktikan sesuatu kepada pihak yang melihat segala usaha Datuk Seri mahu mengisi kerusi Perdana Menteri selama ini, sekadar omongan yang tidak pernah bertukar menjadi realiti?
Tiada siapa boleh menghalang Datuk Seri daripada terus mencuba, namun harapan saya tidak perlulah diganggu kerajaan sedia ada yang tidaklah seteruk mana. Biarlah kerajaan ‘Melayu ini’ terus mentadbir, menjaga nasib dan kepentingan bangsa serta negara buat sementara sehingga pilihan raya umum tiba. MG
Syed Noh Syed Hussain
Batu Pahat
Nampak sangat darurat Abah darurat politik!