Moral kanak-kanak turun ke tahap terendah jika sekolah ditangguh lagi, kata pakar

Pakar pediatrik berkata, pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan sesi persekolahan tertangguh lagi bakal memberi kesan negatif ke atas pelajaran kanak-kanak.

Kew Seih Teck dari Universiti Malaysia Sabah berkata, penangguhan sesi persekolahan bakal menjejaskan emosi mereka, selain tahap motivasi serta moral akan turun ke tahap terendah.

Katanya, selepas mengharungi sesi pembelajaran secara atas talian hampir sepanjang tahun lalu, tahap pemahaman pelajar, khususnya yang berada di tahun dua hingga enam agak kurang dan sekiranya cara pembelajaran itu diteruskan lebih lama, ia bakal menjejaskan prestasi mereka.

”Kanak-kanak yang mahu masuk ke tahun satu bukan sahaja akan berasa hampa kerana tidak dapat berjumpa kawan atau cikgu baharu, malah mereka juga belum bersedia untuk belajar secara atas talian.

 

Kew Seih Teck
”Sementara itu bagi pelajar yang akan naik ke tahun dua hingga enam, apakah yang telah mereka pelajari tahun lalu secara atas talian dan adakah ia akan berulang lagi?

“Mereka tidak dapat berjumpa dan bermain dengan kawan-kawan dan ini akan menjejaskan emosi, selain tahap motivasi dan moral akan turun ke tahap terendah,” katanya kepada FMT.

Kew berkata, asas pembelajaran yang tidak kukuh bakal menjejaskan pembelajaran kanak-kanak apabila mereka melangkah ke sekolah menengah.

Selain itu katanya, persiapan bagi mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) turut terjejas kerana tahap persediaan yang kurang memuaskan.

”Berkurung di rumah, belajar secara atas talian, bermain dengan telefon bimbit dan sebagainya akan menjejaskan pembelajaran, selain kesihatan mereka.

”Asas pembelajaran yang tidak kukuh di peringkat awal juga akan menjejaskan pembelajaran sekolah menengah dan masa depan mereka.

“Persiapan kurang memuaskan dalam kalangan pelajar yang berada di sekolah menengah, terutama yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM, akankan menjejas keputusan peperiksaan serta peluang kursus permintaan di peringkat universiti.

”Kesimpulannya, sistem pelajaran kita akan terjejas jika PKP berlanjutan ke satu tempoh yang agak lama,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Jan depan di seluruh negara berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.

KPM berkata, sesi persekolahan bersemuka hanya akan melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Katanya, semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Jan ini.-FMT

Kanak-kanak tidak bersedia untuk pembelajaran di rumah, kata ibu bapa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker