Kanak-kanak tidak bersedia untuk pembelajaran di rumah, kata ibu bapa

Sebuah kumpulan ibu bapa mengkritik langkah menutup semua sekolah sehingga hari terakhir persekolahan pada Disember, berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri di Semenanjung kecuali Kelantan, Pahang, dan Perlis ekoran peningkatan kes Covid-19.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) berkata pelajar dan guru tidak bersedia untuk pembelajaran di rumah, yang menurutnya, belum diperbaiki sejak PKP dikuatkuasakan pada Mac.

“Ia masih sama, ia banyak bergantung pada usaha individu seseorang guru itu. Walaupun Kementerian Pendidikan sudah mendirikan suatu platform pembelajaran dalam talian (Delima), kami sebagai ibu bapa tak boleh mengaksesnya,” kata Setiausaha Kehormat Tunku Munawirah Putra kepada FMT.

Memetik laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), beliau berkata sambungan internet terutama bagi isi rumah B40 tidak mencukupi bagi pembelajaran di rumah yang saksama dan bersepadu di semua negeri bawah PKPB.

“Bagi isi rumah B40 yang tinggal di kawasan bandar yang mungkin mempunyai sambungan internet dan peranti pun, separuh tiada tempat sesuai untuk belajar.

“Ia bergantung pada kapasiti dan keupayaan sesebuah sekolah dan guru, dan pihak sekolah tidak akan dikenakan tindakan sekiranya gagal menyediakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) seperti itu.

“Ibu bapa dan pelajar mahu sekolah dibuka semula dan kanak-kanak kembali ke sekolah dengan SOP yang lebih ketat, termasuk memberi pelitup muka kepada mereka yang tidak berkemampuan.”

Tunku Munawirah berkata penutupan sekolah secara menyeluruh di semua negeri “membazirkan peluang”, kerana guru masih perlu melapor diri.

Beliau berkata beberapa pelajar masih boleh mendapat faedah daripada pengajaran secara bersemuka meskipun kelas dijadikan lebih kecil atau dipendekkan.

“Beberapa pelajar mungkin tidak dapat mengikuti pengajaran dalam talian, yang akhirnya membuatkan mereka hilang minat terhadap persekolahan dan pembelajaran,” katanya, dan mencadangkan jadual sekolah dipendekkan dan kelas diaturkan secara berperingkat, dengan sesi persekolahan diadakan secara berselang hari.

Tunku Munawirah berkata ibu bapa juga bimbang tentang 400,000 pelajar SPM ekoran penangguhan SPM. “Beberapa pelajar belum selesaikan silibus dan mereka bimbang peperiksaan akan berdasarkan silibus penuh,” katanya.

Sementara itu, guru matematik di luar bandar di Kelantan, Mohd Khairul Izuddin Shaari, berkata kebanyakan guru tidak bersedia untuk PdP kerana menganggap tiada lagi pembelajaran di rumah selepas pembukaan sekolah pada Jun.

Beliau berkata pengumuman musim cuti sekolah, yang dibuat pada hujung minggu, “terlalu saat akhir bagi pihak sekolah membuat persediaan yang perlu” bagi pengajaran dalam talian.

Khairul juga bersetuju akses internet dan kekurangan peranti masih masalah dalam pengajaran dalam talian yang berkualiti, terutama bagi pelajar di sekolahnya, manakala kebanyakan sekolah tidak dilengkapi untuk pengajaran dalam talian.

“Terdapat banyak jurang yang perlu diperbaiki sebelum pengajaran dalam talian dapat dilaksanakan secara menyeluruh, tetapi pihak sekolah masih akan mengajar sedaya upaya walaupun menerusi pembelajaran di rumah,” katanya.

Beliau juga berkata guru-guru bimbang tentang mempersiapkan pelajar untuk sesi persekolahan akan datang, terutama murid Tahun 6 yang akan masuk sekolah menengah dan kanak-kanak tadika yang akan masuk Tahun 1.

“Ada yang mengadu semua perhatian diberi pada pelajar yang berdepan peperiksaan SPM.

“Sekolah akan dibuka semula pada 20 Jan 2021 dan SPM akan bermula pada 22 Feb. Mereka juga bimbang pelajar berkenaan (yang akan masuk Tingkatan 1 dan Tahun 1) mungkin tidak bersedia.”

KPM semalam mengumumkan semua sekolah bawahnya ditutup bermula hari ini hingga ke hari terakhir persekolahan bagi tahun ini, iaitu 17 dan 18 Dis.

Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin berkata semua murid sekolah rendah perlu memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 20 Jan tahun depan seperti yang dijadualkan.

Selain itu, pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5, dan Tingkatan 6 serta semua pelajar kolej vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama.

Pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama, tetapi secara pembelajaran dalam talian. Mereka hanya dibenarkan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac. FMT

Guru sukar laksana pembelajaran secara ‘online’ ketika PKP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker