‘Dana dewan Muhyiddin boleh bina lebih 5 masjid’

 

Peruntukan RM35.4 juta bagi membina tiga dewan orang ramai di kawasan parlimen Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Pagoh terus menjadi bidasan orang ramai.

Terbaru, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Engdalam satu kenyataan media, hari ini, menyelar Muhyiddin dengan berkata dana RM35.43 juta itu boleh membina lebih lima (atau mungkin enam atau tujuh) masjid.

“Saya ingin menarik perhatian Muhyiddin bahawa baru-baru ini sebuah projek masjid oleh Jabatan Kerja Raya di Bandar Baru Kampar, Perak hanya berharga RM1.9 juta dan masjid itu mampu memuatkan 500 jemaah

“Projek seumpama itu di Kampung Semarang, Sarawak di tanah seluas 5 ekar yang ditender pada November lalu hanya berharga RM2.5 juta.

“Malah kos masjid baru di Kampung Seri Aman Puchong, Selangor, kawasan utama di Lembah Klang, adalah RM9.5 juta, dan ia mempunyai kapasiti untuk memuatkan 5,000 jemaah,” kata Lim.

Pemimpin DAP itu mempersoalkan jawapan dari pejabat Perdana Menteri bahawa dana RM35.43 juta berkenaan adalah untuk pembinaan tiga buah dewan orang ramai iaitu Dewan Gersik, Tangkak (RM13 juta), Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5.77 juta).

“Semasa kemerosotan ekonomi disebabkan oleh pandemik Covid-19, kerajaan seharusnya berjimat-cermat dan berhati-hati dalam membelanjakan wang rakyat.

“Segala usaha harus dilakukan untuk mengurangkan projek awam yang tidak penting supaya lebih ramai mangsa Covid-19 dapat dirawat di hospital dan lebih ramai orang boleh mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya.

Lim berkata dewan orang ramai atau balai raya sering kali dibiarkan kosong dan hanya digunakan sekali-sekala, dan mungkin bukan cara paling produktif untuk menggunakan dana awam, terutama pada krisis kesihatan global.

“Bukannya berniat jahat atau tidak bertanggungjawab bagi sesiapa yang mempersoalkan cara perbelanjaan perdana menteri kerana wang itu adalah daripada dana awam.

“Saya juga ingin meminta agensi-agensi integriti dan penguatkuasaan kerajaan yang berkaitan untuk mengambil inisiatif supaya menyiasat dan menghapus keraguan tentang cara perolehan ketiga-tiga balai raya itu,” katanya.

Rakan parti DAP Lim, Howard Lee juga mempersoalkan dasar kerajaan Muhyiddin dalam membantu rakyat.

“Perniagaan dari pelbagai saiz – kecuali segelintir – hampir tidak mampu bertahan dan terpaksa menggulung tikar. Ini adalah kekurangan kewangan yang belum dipulihkan dari pusingan pertama PKP.

“Belum lagi sebilangan besar perniagaan yang belum mendapat bantuan kewangan yang dijanjikan walaupun sudah memenuhi syarat,” katanya.

Leave a Reply