Zamsaham tetap kena tanggung hutang KAFA

 

KUALA LUMPUR: Sekalipun sudah melengkapkan proses penswastaan, pasukan yang baharu diswastakan itu masih boleh dihukum atas kesalahan yang dilakukan ‘pemilik terdahulu’.

Perkara itu dimaklumkan peguam undang undang sukan, Zhafri Aminurashid yang menjelaskan peruntukan itu termaktub dalam Artikel 24ter Undang Undang Status dan Perpindahan Pemain (Edisi Januari 2021) Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Berdasarkan artikel terbabit, jelas menyatakan sekiranya sesuatu kelab menggunakan slot atau tempat yang diterima daripada entiti yang sebelumnya adalah dikenali sebagai ‘sporting successor.’

“Sehubungan itu, kesemua liabiliti dan hukuman boleh dilanjutkan kepada pemilik yang baharu jika menggunakan slot atau tempat entiti yang mempunyai kes atau hukuman terdahulu.

“Saya lihat masalah di sini lebih kepada pemilik baharu terbabit (Norizam Tukiman) tidak mendapat maklumat penuh dan terperinci berkaitan dengan kes-kes yang akan dimulakan, sedang dibicara ataupun yang sudah menerima keputusan atau hukuman,” katanya.

Terdahulu, Norizam yang juga pemilik pasukan Kelantan FC, meluahkan ketidakpuasan hatinya susulan kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengatakan Kelantan FC bakal berdepan pemotongan tiga mata jika Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji bekas 11 pemainnya.

Memetik satu kenyataan di akaun Facebook Zamsaham, Norizam mengesahkan persatuan terbabit sudah menjelaskan mereka bersedia melunaskan baki hutang terbabit sementara Kelantan FC pula akan terus fokus untuk memandang ke hadapan.

Justeru, Norizam berpendapat badan induk itu seharusnya membantu supaya urusan penswastaan dapat berjalan dengan lebih lancar dan tidak sekadar berfikir untuk menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pasukan.

“KAFA dah jelaskan baki hutang mereka akan bayar. Kelantan FC dah nak fokus ke depan. Penswastaan yang kurang bijak. Hutang KAFA, denda ke Kelantan FC. Apa guna swasta?,”

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Mohd Joehari Ayub dilaporkan berkata 11 bekas pemain Kelantan telah membuat tuntutan rasmi berjumlah RM187,778.92 kepada KAFA dan badan induk itu dikehendaki membayar tuntutan berkenaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker