Amalan Demokrasi Berparlimen Tumbang Apabila Parlimen Digantung – Majlis Profesor Negara

 

Bahawa pucuk kepimpinan Majlis Profesor Negara (MPN) telah mengadakan perbincangan berkaitan dengan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada selasa, 12 Januari 2021 yang lalu. Proklamasi ini akan berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021.

 



Seperti diumumkan oleh pihak media massa, proklamasi ini diperkenannya oleh Tuanku Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (1) Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, ekoran sembah nasihat dan penjelasan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Perdana Menteri, mengenai penularan wabak COVID-19. Sembah nasihat YAB Perdana Menteri telah turut disertai oleh sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

 

MPN memahami dan menjunjung kasih atas perkenan Al-Sultan Abdullah mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara berdasarkan statistik semasa COVID-19, dan juga pandangan Raja-Raja Melayu, sebelum memberikan perkenan kepada permohonan mengisytiharkan Proklamasi Darurat tersebut.

 



Walaupun begitu, MPN memohon merafak sembah memaklumkan bahawa Proklamasi Darurat 2021 ini adalah tidak sesuai diisytiharkan ketika ekonomi Negara berada pada tahap penguncupan yang sangat membimbangkan, bukan saja akibat daripada penularan wabak COVID-19, tetapi juga ekoran kehilangan keyakinan para usahawan tempatan dan para pelabur antarabangsa terhadap iklim ekonomi serta kestabilan politik dan sistem pemerintahan Malaysia.

 

Pihak MPN berpandangan bahawa apabila Proklamasi Darurat diisytiharkan dan operasi institusi Parlimen digantung maka  secara otomatik sistem pemerintahan Malaysia yang berteraskan amalan demokrasi berpilihan raya dan berparlimen telah tumbang serta merta, menyebabkan Kabinet Kerajaan tidak lagi boleh berfungsi secara sah seperti biasa. Ini ialah kerana Kabinet Kerajaan yang demokratik hanya boleh wujud dan bergerak secara sah ketika Parlimen boleh bersidang dan beroperasi secara sah, dan tidak digantung oleh Proklamasi Darurat. Pada hakikatnya, Proklamasi Darurat adalah pemaksaan kuasa pemerintahan secara totalitarian dan bercirikan tirani yang sangat merbahaya. Dunia sedang dan akan terus memerhatikan tingkah laku pemerintahan Malaysia dengan teliti dan curiga.

 



Apabila Proklamasi Darurat diisytihar dan dikuatkuasakan dengan menggantung fungsi Parlimen, tetapi membenarkan Kabinat Kerajaan terus beroperasi seperti biasa, maka ini adalah satu paradoks dan anomali yang bercanggah dengan prinsip demokrasi, punca kuasa dan kuatkuasa yang terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.  Dengan itu, satu krisis Perlembagaan yang serius telah pun tercetus. Krisis ini akan menjadi lebih parah lagi jika Perdana Menteri yang sedia ada, yang ternyata telah kehilangan sokongan majoriti dalam Parlimen, dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bebas Darurat 2021 kelak. Ini menjadikan orang yang sama, ia itu orang yang tidak mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen, masih memimpin Kabinet yang sepatutnya sudah terbubar, dan mempengerusikan satu “Kabinet Darurat” berlandaskan Proklamasi Darurat tersebut.

 

Kewenangan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Proklamasi Darurat 2021 ini diperkenankan juga boleh dipersoalkan keabsahannya. Ini  kerana ketika YAB Tan Sri Muhyiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong, beliau telah pun tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen. Ini melahirkan suasana di mana sebuah kerajaan yang tidak sah dan telah kehilangan sokongan, kini sedang menggunakan kuasa pemerintahan darurat yang diproklamasikan secara tidak sah. Ini bermakna, Malaysia tidak lagi mempunyai sistem pemerintahan yang menghormati kedaulatan undang-undang secara jujur dan sah.

 



Penularan wabak COVID-19 memang dapat ditangani menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988). Akta ini boleh dipinda bagi tujuan menangani penularan wabak COVID-19 ini dengan lebih berkesan. Oleh itu, Pengisytiharan Proklamasi Darurat 2021 ini sesungguhnya tidak perlu persembahkan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

 

MPN merafak sembah memohon Yang di-Pertuan Agung perkenan menerima beberapa orang wakil MPN untuk datang mengadap dan mempersembahkan pandangan para ilmuwan daripada sudut perlembagaan dan perundang-undangan, ekonomi dan perdagangan, politik, demokrasi dan sistem pemerintahan, pendidikan dan pengajian tinggi, dan prinsip maqasyid syariah, dengan tujuan membantu proses pemulihan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia.

 



MAJLIS PROFESOR NEGARA (MPN)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker