Tiga alasan boleh digunakan YDPA isytihar darurat – Takiyuddin



Sebaran :


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150(1) sekiranya baginda berpuas hati ancaman darurat besar atas sebab keselamatan negara, kehidupan, ekonomi dan ketenteraman awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peranan baginda ketika darurat boleh memasyhurkan undang-undang, yang dinamakan ordinan, jika berpuas hati hal tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta merta.

“Ini disebut dalam Perkara 150(2B), iaitu jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuatkuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.



Pagi ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan pegawai tertinggi kerajaan semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Menurut Takiyuddin lagi, selain mengikut Perkara 150(2B), baginda juga boleh mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika darurat besar jika tiga ancaman itu hampir benar berlaku.



“Tiga asas atau alasan boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat iaitu ancaman ke atas keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sekiranya proklamasi dibuat ketika Majlis Parlimen tidak bersidang serentak, baginda boleh memasyhurkan ordinan.
Katanya, maksud “Majlis Parlimen tidak bersidang serentak” boleh difahami dalam fasal (9) Perkara 150, yang memperuntukkan “Majlis-Majlis Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang hanya jika ahli setiap Majlis itu masing-masing berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis”.

“Sekiranya Parlimen telah mula bersidang secara serentak, kuasa Yang di-Pertuan Agong terhenti dan kuasa perundangan dipulangkan kepada Parlimen.



“Sekiranya Parlimen telah kembali bersidang secara serentak, semua kuasa membuat undang-undang kembali kepada Parlimen walaupun keadaan darurat masih berlangsung.

“Bagaimanapun, Parlimen boleh membuat ordinan untuk memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang (keputusan Privy Council dalam kes Teh Cheng Poh),” katanya. MG


Sebaran :


Leave a Reply