Darurat: Bereskan soal ekonomi, pendapatan rakyat


KERAJAAN perlu memikir dan melaksanakan pelan penyelesaian kepada isu ekonomi rakyat sekiranya Perintah Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini.

Ini kerana kebimbangan dalam kalangan rakyat timbul terutama bagi mereka yang terlibat dalam sektor perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain itu, pekerja yang memperoleh pendapatan secara harian juga bimbang sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ataupun Perintah Darurat.

“Darurat ini pula dikatakan sehingga Ogos dan memang menunjukkan tindakan kerajaan adalah lebih serius.

“Kalau PKP dua minggu sahaja, kesan kepada ekonomi rakyat, perniagaan itu mungkinlah tidak ketara. Boleh tahan lagilah.

“Tetapi, apabila darurat diumumkan seolah-olah macam PKP ini besar kemungkinan akan dilanjutkan lagi mungkin sebulan sebab pakar perubatan pun sudan bersuara kata dua minggu mungkin tak cukup.

“Disebabkan itu, maknanya kalau PKP dilanjutkan lebih daripada sebulan dan Darurat ini pun memang bertujuan untuk menfokuskan kepada krisis kesihatan, satu yang perlu diperjelaskan oleh kerajaan ialah kesan daripada usaha menangani pandemik ini memang termasuk kesan kepada ekonomi.”

Demikian kata Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Putra, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Terdahulu YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan Perisytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah untuk membendung dan melandaikan penularan Koronavirus (Covid-19)

Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, darurat akan dilaksanakan sehingga 1 Ogos tahun ini.

Dalam pada itu, Ahmad Razman turut meminta kerajaan menjelaskan isu berkaitan pemberian moratorium pinjaman seperti dilakukan ketika awal pelaksanaan PKP tahun lepas.

Ini kerana, kesan yang akan dihadapi negara terhadap ekonomi adalah sama seperti sebelum ini jika perintah darurat dilakukan.

“Itu yang kita, rakyat hendak tengok, boleh tak mereka dapat segala jenis bantuan ini dan satu lagi mungkin orang tanya dulu ada moratorium, sekarang ada lagi ke tak?

“Yang kes itu, bergantung kepada sama ada PKP ini akan dilanjutkan lebih daripada sebulan atau tidak, masa itu kerajaan kena fikirkan balik, kemudahan moratorium itu.

“Itulah sebab saya tengok, pengumuman darurat ini memang dalam kenyataan itu hanya fokus menangani krisis kesihatan sahaja.

“Jadi, isu bagaimana hendak menangani krisis ekonomi itu tidak ada, saya harap kerajaan akan memberi penerangan lebih lanjut, adakah jawatankuasa khas darurat itu akan fokus kepada kesihatan sahaja ke ataupun termasuk ekonomi.

“Sebab kalau boleh, alang-alang sudah isytihar darurat, dua-dualah lebih baik.

“Apabila kerajaan melihat kepada kedua-duanya, masa itu mungkin mereka boleh buat keputusan berkenaan patut ke tidak bank-bank bagi kemudahan moratorium seperti dahulu,” jelasnya.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melaksanakan PKP2.0 susulan peningkatan kes baharu Covid-19 membimbangkan dan perkhidmatan kesihatan berada pada tahap maksimum. – SM

Darurat : Ini kata Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker