Mesyuarat biro politik Umno bincang tindakan kerajaan isytihar darurat

Sebaran :

Mesyuarat Biro Politik Umno hari ini bermesyuarat bagi membincangkan situasi politik terkini negara selepas negara berada di bawah proklamasi politik.

Menurut sumber, mesyuarat itu dihadiri oleh beberapa pemimpin tertinggi Umno.

“Mesyuarat biro politik hari ini berlangsung di ibu pejabat Umno.

“Mesyuarat membincangkan situasi semasa politik negara, khususnya proklamasi darurat yang diumumkan perdana menteri.

“Umno juga akan mengadakan perhimpunan agung hujung bulan ini, jadi ini semua turut dibangkitkan dalam mesyuarat itu tadi,” katanya kepada Malaysiakini.

Selepas mesyuarat itu, satu kenyataan media dikeluarkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu, Umno mengingatkan bahawa kuasa bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan Covid-19 semata-mata.

“Memandangkan rasional yang dikemukakan oleh YAB perdana menteri dalam memohon pengisytiharan darurat hanyalah untuk menguruskan pandemik Covid-19, maka segala kuasa bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan wabak semata-mata.

“Sepanjang darurat berlangsung, Umno berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang harus tetap dipelihara,” kata Zahid.

Dalam pengumuman khas perdana menteri pagi tadi, Muhyiddin Yassin berkata sepanjang tempoh darurat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh memasyhurkan mana-mana ordinan mengikut keperluan semasa bagi tindakan serta-merta.

Katanya, ia merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambilmilikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta untuk merawat Covid-19.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan bahawa Umno sedar bahawa situasi politik hari ini adalah usaha Muhyiddin untuk menyelamatkan kerajaan pimpinannya.

Ia selepas Umno berhasrat untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta tindakan beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan pada PN.

“Umno sedar ini adalah usaha PM untuk menyelamatkan kerajaannya dan menghalang langkah diambil Umno,” katanya lagi.


Sebaran :

Leave a Reply