Banjir, 7 daerah kini terjejas di Johor

JOHOR BAHRU: Pontian menjadi daerah terbaharu terjejas banjir gelombang kedua di negeri ini yang bermula sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, berkata walaupun hujan sudah berhenti di kebanyakan kawasan di negeri ini, langkah berjaga-jaga dan pemantauan masih diteruskan berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Katanya, jumlah mangsa banjir di Johor menurun sedikit kepada 3,598

membabitkan 996 keluarga yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah, setakat jam 7.30 pagi ini.

Ia berbanding seramai 3,603 orang mangsa banjir membabitkan 998 keluarga di negeri ini, petang semalam.

Beliau berkata, Pontian merekodkan sebanyak 17 mangsa banjir daripada empat keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS, pagi ini.

“Kota Tinggi kekal sebagai daerah paling terjejas dengan mangsa banjir seramai 2,198 orang daripada 591 keluarga di 23 PPS pagi ini, menurun sedikit berbanding 2,219 orang daripada 594 keluarga, petang semalam.

“Johor Bahru pula mencatatkan penurunan mangsa banjir kepada seramai 1,084 orang daripada 325 keluarga di 10 PPS berbanding 1,104 orang daripada 331 keluarga, petang semalam,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca berwarna kuning dengan jangkaan hujan lebat di Kota Tinggi dan Mersing, pagi ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker