Tolong, jangan adakan PRU tahun ini, rayu pakar perubatan

Terkini di My KMU !!!!---->

PETALING JAYA: Seorang pakar perubatan menolak desakan beberapa parti politik supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan pada suku pertama tahun ini, dengan menyifatkan langkah itu tidak wajar dan akan memburukkan lagi penularan wabak Covid-19.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, fokus utama kerajaan ketika ini seharusnya untuk mengurangkan kes jangkitan dalam komuniti, yang dilihat semakin membimbangkan.

Malah beliau berkata, PRU juga tidak wajar diadakan pada tahun ini walaupun program vaksinasi Covid-19 dikatakan akan dilaksanakan seawal Mac.

“Kita perlu betul-betul mengurangkan kes jangkitan dalam komuniti. Ini mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi,” katanya kepada FMT.

Dr Zainal Ariffin Omar.

Beliau yang juga bekas pengarah Kesihatan Negeri Pahang berkata, pengalaman selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah jelas menunjukkan risiko tercetusnya gelombang baharu wabak itu apabila berlaku pergerakan rentas negeri secara bebas ketika berkempen.

“Ahli politik diminta bersabar, kalau boleh usahakan cara lain selain pilihan raya. Tidak wajar adakan PRU dalam suku pertama tahun atau dalam tahun ini walaupun vaksin telah ada,” tegasnya.

Baru-baru ini, PPBM yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencadangkan untuk mengadakan PRU-15 selepas pandemik Covid-19 reda dan bekalan vaksin mula diagihkan kepada rakyat.

Sebelum itu, Umno turut mendesak PRU-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada situasi Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam memberi amaran “keadaan lebih buruk akan berlaku” dalam suasana situasi jangkitan Covid-19 dilaporkan semakin meningkat.

Dalam catatan di Facebook, Noor Hisham berkata antara Jan dan Sept tahun lepas, negara mencatatkan kurang daripada 100 kematian akibat Covid-19.

Bagaimanapun setakat 9 Jan, katanya, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 71 kes, sekali gus menzahirkan perasaan bimbangnya perkara buruk akan berlaku.

One thought on “Tolong, jangan adakan PRU tahun ini, rayu pakar perubatan

  • January 11, 2021 at 15:31
    Permalink

    Tahun yang paling sesuai, itu pun begantung kepada situasi pendamik Covid 19, adalah pada tahun 2022. Tahun ini tumpukan dahulu kepada vaksinasi. Tak boleh ikut contoh macam New Zealand dan Singapura. Di sana tak ramai orang dan mereka sendiri komited melaksanaakan SOP dan perlaksanaan peraturan yang ketat. Di Malaysia nie, semakin kita nasihatkan semakin kita tak nak ikut.

    Reply

Leave a Reply