Pendaftaran tidak diluluskan, MUDA mungkin bersama Warisan?

Selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) enggan mendedahkan sebab utama mengapa pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) tidak diluluskan, persoalan terus berlingkar mengenai masa depan parti itu.

Dengan desas-desus pilihan raya umum akan diadakan seawal penggal pertama tahun ini, biarpun ditentang ramai, MUDA pasti perlu memikirkan cara terbaik untuk terus relevan, termasuk kemungkinan bertanding di bawah lambang parti sedia ada.

Perjumpaan salah seorang pengasasnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menimbulkan persepsi, itu mungkin pilihan yang terbaik.

Dalam catatan terbaharunya di Facebook, Syed Saddiq berkata Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna merupakan seorang yang sangat beliau hormati.

“Beliau seorang ahli politik yang mempunyai kepercayaan penuh kepada perpaduan dan kepelbagaian kaum.

“Rakyat Malaysia sudah penat dengan iklim politik sedia ada. Ia langsung tidak membantu kita untuk terus maju ke hadapan sebagai sebuah negara.

“Terlampau banyak potensi tersembunyi yang perlu dicungkil, dan saya percaya politik melampau telah menghalang kita berbuat demikian,” katanya lagi.

Syed Saddiq dalam catatannya itu berkata Malaysia memerlukan sekumpulan pemimpin yang mampu memandu negara ini ke hadapan, bukan hanya bergantung kepada seorang individu semata-mata.

Pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Warisan yang berlangsung Disember lepas, Mohd Shafie dilaporkan berkata parti itu akan membuka cawangan di Semenanjung, khususnya di kawasan yang mempunyai ramai rakyat Sabah.

Katanya langkah yang bakal dilakukan parti itu adalah perkara yang dibenarkan dalam Perlembagaan negara dan Warisan bukan parti pertama dari Sabah yang berbuat demikian.

“Tidak hanya Warisan, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) pernah bertanding di Semenanjung seperti di Perak… di Pulau Pinang… jadi seperti yang saya nyatakan, kalau parti dari Semenanjung boleh wujud di Sabah, mengapa pula parti dari Sabah tidak boleh wujud di Semenanjung,” katanya kepada sidang media berkenaan.

Dalam pada itu, sumber memberitahu penyertaan MUDA ke Warisan sedang dalam perbincangan, namun ia bergantung kepada situasi semasa.

Selain itu, beliau berkata, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad juga sedang mempertimbangkan kemungkinan yang sama memandangkan pendaftaran mereka juga masih tidak diluluskan RoS.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker