Menjelang PRN Sarawak PKR, PSB saling ‘berperang’
PKR dan DAP mungkin telah belajar daripada pertembungan sesama sendiri ketika pilihan raya negeri Sarawak pada 2016 yang merugikan kedua-dua parti namun sejarah mungkin berulang semula untuk pembangkang di negeri itu.
Pergeseran antara PKR dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) semakin panas menjelang pilihan raya negeri yang memungkinkan pertembungan antara kedua-dua parti.
PSB pada tahun lalu menerima sebahagian pemimpin PKR di Sarawak, termasuk bekas pengerusinya, Baru Bian yang merupakan Ahli Parlimen Selangau dan Adun Ba’kelalan.
Ketua cabang PKR Bandar Kuching, Dominque Ng, dalam sidang media pada Sabtu lalu, melabelkan PSB sebagai parti ‘tauke’ yang menentang pengiktirafan terhadap Tanah Hak Adat (NCR).
Dia berkata, ini disebabkan beberapa pemimpin PSB mempunyai hubungan dengan syarikat pembalakan.
Ini menyebabkan kemarahan Baru, yang sekian lama menjuarai isu NCR dan telah berjuang dalam banyak kes mahkamah bagi mewakili masyarakat Orang Asal di Sarawak.
“Ini hanya anggapan dan andaian bahawa disebabkan pemimpin parti mempunyai hubungan dengan syarikat pembalakan, PSB oleh sebab itu adalah parti yang melindungi tauke balak.
“Adakah Ng mempunyai bukti bahawa PSB adalah parti seperti itu? Jika demikian, saya ingin dia kemukakan bukti, jika tidak, dia hanya serkap jarang.
“Tambahan pula, firma saya masih mewakili pemilik tanah NCR dan mereka masih melibatkan kami bagi berjuang untuk mereka.
“Itu sudah cukup untuk menyatakan mengenai pendirian saya terhadap NCR dan keyakinan rakyat terhadap kami untuk mewakili mereka,” kata Baru, yang merupakan peguam, dalam satu kenyataan.
Dia juga menegaskan isu NCR antara yang terkandung dalam manifesto PSB pada pilihan raya negeri akan datang yang akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan Ogos.
Tempoh DUN Sarawak akan berakhir pada bulan Jun tahun ini.
Baru dan Ng tidak sehaluan sejak kedua-duanya berada dalam PKR.
Ng keluar dari PKR pada tahun 2011 setelah mendakwa parti itu dikuasai “kartel YB”. Dia menyertai semula parti itu pada Mei tahun lalu apabila Baru dan kuncu-kuncunya menyertai PSB.
Baru, dalam kenyataannya juga menjawab dakwaan yang dilemparkan setiausaha PKR Sarawak, Joshua Jabeng.
Jabeng mendakwa dirinya memberi peluang kepada Baru untuk bertanding di kerusi Parlimen Selangau pada pilihan raya umum 2018.
Sebaliknya, Baru mendakwa Joshua berusaha menyingkirkannya untuk bertanding di kerusi berkenaan.
“Oleh itu saya minta Joshua berhenti putarbelitkan fakta untuk dirinya sendiri supaya kita tidak perlu terlibat dalam perbalahan di khalayak ramai.
“Dia tidak sepatutnya berpura-pura menjadi mangsa. Saya biasanya tidak menjawab masalah peribadi seperti ini di khalayak ramai, tapi kerana individu-individu ini memilih untuk menyentuh integriti saya, saya harus berikan respons sewajarnya,” katanya.
You must be logged in to post a comment.