Kabinet perlu batal program selepas Rina, Mustapa positif Covid-19, kata Najib
Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan semua program mereka untuk tempoh seminggu, susulan terdapat menteri disahkan positif Covid-19.
Najib berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sepatutnya mengklasifikasikan anggota Kabinet lain sebagai kontak rapat yang perlu dipantau dan diberi arahan kuarantin wajib.
Ini kerana mereka pernah hadir sebilik dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dalam mesyuarat Jemaah Menteri beberapa hari lalu.
“Peliknya kenapa menteri Kabinet masih menghadiri program umum setelah Mustapa disahkan positif tengah hari semalam.
“Kenapa pula Rina masih boleh hadir dua program semalam?” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun disahkan positif Covid-19 selepas memperoleh keputusan ujian saringan malam tadi.
Rina dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada 11 pagi tadi.
Kelmarin, Mustapa disahkan positif Covid-19 selepas tiba di Kota Bharu, Kelantan dari Kuala Lumpur.
Beliau dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, untuk pemantauan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sebelum ini, beberapa anggota tertinggi pentadbiran kerajaan turut disahkan dijangkiti Covid-19, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Ahmad Masrizal Mohamad.-FMT
You must be logged in to post a comment.