Usul putus kerjasama politik: Bersatu hormat pendirian UMNO – Mohd Rafiq

MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghormati sebarang keputusan dibuat UMNO termasuk penolakan kerjasama dengan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presidennya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, tiada sebab untuk beliau atau mana-mana pihak menidakkan hak parti yang berbeza fahaman, khasnya dalam menentukan hala tuju masing-masing.

“Kita menghormati hak masing-masing… hak parti untuk tentukan hala tuju parti masing-masing. Dalam masa sama, PN (Perikatan Nasional) Melaka sudah mula memperkukuhkan hubungan antara Bersatu dan Pas.

“Kita telah merencana pelbagai program membantu rakyat… Ada rencana-rencana yang telah kita susun untuk terus bantu rakyat… Turun ke bawah kita fokus bantuan ringankan beban rakyat dalam hadapi COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyampaian bantuan persekolahan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Taman Krubung Jaya, pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai ketidakstabilan hubungan antara Bersatu dan UMNO, beliau berkata pemimpin semua parti di Semenanjung perlu mencontohi langkah perpaduan yang ditonjolkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jelasnya, meskipun angin politik di Semenanjung ketika ini sedang hangat dengan isu pergeseran pendapat beberapa parti, namun GRS telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara semua komponen parti kerajaan untuk terus mempertahankan mandat rakyat negeri itu selepas pilihan raya lalu.

Ujarnya, beliau yakin PN dan Barisan Nasional (BN) boleh menang besar pada PRU15 menentang Pakatan Harapan (PH) sekiranya aturan agihan kerusi dibuat dengan baik tanpa pertindihan.

Ditanya soal pendirian hampir kesemua UMNO bahagian di Melaka yang menolak kerjasama dengan Bersatu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan negeri PN Melaka, menegaskan gabungan PN di negeri itu masih kukuh.

Ujarnya, kemelut politik yang berlaku ketika ini tidak menjejaskan perpaduan PN mahupun hubungan antara Exco di bawah kerajaan negeri.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker