RM11 juta untuk mangsa banjir Pahang


Kerajaan Pahang memperuntukkan RM11 juta untuk menyediakan keperluan harian mangsa banjir khususnya mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, jumlah itu meliputi peruntukan tambahan RM8 juta diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Jumaat lepas mengambil kira situasi banjir yang berlaku sekarang.

“Jumlah keseluruhan RM11 juta pada tahun ini ialah yang kedua tertinggi selepas bencana banjir besar pada 2014/2015 yang melibatkan kira-kira 100,000 mangsa, iaitu sebanyak RM57 juta.

“Peruntukan tambahan yang disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diharapkan dapat membantu mereka untuk terus menjaga kebajikan mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, peruntukan banjir kerajaan negeri pada pada 2016 ialah sebanyak RM16,493, masing-masing RM1.9 juta bagi 2017 dan 2018, serta RM46,200 pada 2019 yang dibuat berdasarkan keperluan dan tahap keseriusan banjir pada tahun tersebut.

Wan Rosdy berkata, JKM juga sudah membelanjakan kira-kira RM3.4 juta untuk operasi banjir kali ini dengan RM2.9 juta digunakan bagi membeli barang keperluan harian mangsa di PPS.

“Saya berharap mereka yang berada di PPS dan di lapangan, termasuk petugas dan sukarelawan, sentiasa mementingkan keselamatan dan kesihatan diri serta menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk membendung penularan wabak Covid-19,” katanya. Bernama

Bantuan Mangsa Banjir, Denyut Nadi Zahid Hanya Untuk Rakyat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker