Fasiliti KKM masih mampu tampung pesakit COVID-19 – Dr Adham
JOHOR BAHRU: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata fasiliti kementerian itu masih mampu menampung jumlah pesakit COVID-19 di sebalik peningkatan mendadak kes semasa.
Bagaimanapun katanya kementerian akan mengaktifkan semula lebih banyak Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara bagi menempatkan pesakit berisiko rendah.
“Setakat ini, fasiliti KKM (Kementerian Kesihatan) masih mampu menampung peningkatan kes, namun kaedah ketat dalam melandaikan keluk COVID-19 perlu dilaksanakan segera,” katanya pada sidang media bersempena Majlis Penyerahan Projek Naik taraf Pusat Pengumpulan Darah Fasa Dua di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Pada masa sama, Dr Adham berkata kerajaan juga perlu melihat pada kebajikan petugas perubatan barisan hadapan termasuk pakar pengendalian mesin ventilator yang kini bertungkus lumus menangani peningkatan mendadak kes.
“Ini kerana kita dapati kes pesakit COVID-19 yang menggunakan ventilator dan katil ICU (unit rawatan rapi) turut meningkat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata jumlah penderma darah di seluruh negara menurun hingga 40 peratus pada tahun lalu iaitu hanya kira-kira 500,000 orang berbanding 743,739 pada 2019.
Penurunan ini berpunca daripada penularan pandemik COVID 19 menyebabkan masyarakat bimbang menderma dan menerima darah, katanya.
Selain itu, beliau berkata pembatalan program dan kempen menderma darah bagi mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan turut menyumbang kepada penurunan tersebut.
“Bagi memastikan stok bekalan darah mencapai tahap yang optimum, masyarakat dan badan bukan kerajaan diminta menggiatkan kembali aktiviti penganjuran kempen derma darah supaya dapat mencapai sasaran sebanyak 700,000 penderma darah tahun ini,”
tambahnya.
— BERNAMA
You must be logged in to post a comment.