UMNO tidak kemaruk, PRU15 boleh ditunda jika kes COVID-19 meningkat – Nazri Aziz
K
KUALA LUMPUR: “Tidak perlu adakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika kes COVID-19 terus meningkat”.
Demikian kata bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengenai usul yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 31 Januari ini.
Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu berkata, UMNO tidak kemaruk seperti didakwa oleh beberapa pihak yang cuba memberi persepsi negatif terhadap parti itu.
“Kita nak minta (PRU15) kalau boleh suku pertama, itu pun kita ambil kira berlapik… sekiranya COVID-19 (sudah ditangani)…
“Orang tidak suka UMNO kata UMNO kemaruk. Tidak ada orang dalam UMNO gila, musim COVID-19 pun nak buat (PRU15), kita cakap suku pertama tapi perlu menangani COVID-19 (terlebih dahulu).
“Kalau tidak ada (belum dapat ditangani), tangguh sahajalah, kalau kita menarik sokongan Ahli Parlimen daripada kerajaan sekalipun, bukan automatik Parlimen terbubar.
“Tetapi Perdana Menteri kena lapor kepada Yang di-Pertuan Agong… sekarang majoriti dua kerusi Parlimen… kalau lapan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) keluar, dah hilang majoriti,” katanya ketika ditemui di satu majlis di ibu negara pada Sabtu.
Sebelum ini, UMNO dalam satu kenyataan memaklumkan usul PRU15 diadakan pada suku pertama tahun 2021 tertakluk kepada keadaan COVID-19 akan dibawa dan diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO hujung Januari ini.
Annuar minta Anwar dedah nama MP UMNO kemaruk kuasa