Pengarah didakwa terima wang deposit RM520,000 tanpa lesen

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan menerima wang deposit daripada seorang pesara berjumlah RM520,000 tanpa lesen yang sah.

Bagi semua pertuduhan, Abdul Halim Navaghani, 42, didakwa menerima deposit daripada Zainal Abidin Abdul Rasol, 68, berjumlah RM520,000 melalui tujuh keping cek CIMB di dua pejabat di Solaris Mont Kiara di sini, antara 19 Jun 2015 hingga 10 Jan 2017, dipercayai berkaitan pelaburan bagi syarikat pelancongannya.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, Hakim Datin Sabariah Othman masing-masing membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan manakala Hakim Hasbullah Adam menetapkan jaminan RM1,000, kesemuanya dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Ahmad Kamal dan Sabariah turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes-kes berkenaan untuk dibicarakan bersama di hadapan Hasbullah kerana ia melibatkan tertuduh, saksi serta kesalahan sama.

Hasbullah menetapkan 5 Februari ini untuk sebutan semula ketiga-tiga kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin dan Afiq Nazrin Zaharinan manakala tertuduh diwakili peguam Hazeeq Fadzli Hasrul Sani. – Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker