Tiada masalah letak jawatan menteri jika itu arahan parti – KJ



Sebaran :

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sedia melepaskan jawatannya dalam Kabinet jika diarahkan UMNO.

Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO itu, berkata sebagai ahli organisasi terbabit, beliau terikat dengan keputusan parti.

“Kalau keputusan (supaya letak jawatan menteri) dibuat oleh MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO, sebagai ahli parti, saya terikat dengan keputusan parti,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.



Hubungan di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat semakin longgar, susulan kenyataan dibuat beberapa pemimpin kedua-dua parti kebelakangan ini, terutama desakan UMNO supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

Turut mencetuskan konflik adalah dakwaan berlaku perebutan dan ‘pembelian’ ahli serta isu pengagihan kerusi pilihan raya.

Terbaru, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, malam tadi menyarankan BERSATU memberi tumpuan kepada kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding pada PRU-15.



Kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, ia bagi mengelakkan BERSATU mengganggu kerusi tradisi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga mengundang konflik serta pertelingkahan berterusan antara parti terbabit.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN dipetik berkata, kemarahan akar umbi UMNO ketika ini antara lain disebabkan tindakan beberapa pemimpin BERSATU mahu meletakkan calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini dimenangi UMNO serta BN.

Terdahulu pada hujung minggu lalu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu mahu bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN dimenanginya pada PRU-14.



Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata, UMNO dan BN tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) dan sokongan kepada kerajaan sekarang hanya daripada kalangan Ahli Parlimen sahaja.

Beliau turut memaklumkan, 143 daripada 191 ketua UMNO bahagian seluruh negara menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 nanti.


Sebaran :


Leave a Reply