Pasaran saham berpotensi lepasi paras 1,800 mata tahun ini – Maybank IB

KUALA LUMPUR: Indeks penanda aras pasaran saham tempatan, FBM KLCI dijangka mampu meningkat ke paras 1,830 mata menjelang akhir tahun ini, kata Maybank Invesment Bank Bhd (Maybank IB).

Ia disokong prospek pendapatan korporat lebih baik dan kecairan mencukupi dalam pasaran ekuiti, selain pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan.

Ketua Penyelidik Ekuiti Serantaunya, Anand Pathmakanthan, berkata pasaran ekuiti tempatan mencatatkan pemulihan mendadak ketika memulakan dagangan awal tahun ini dipacu pertumbuhan pendapatan korporat 45 peratus tahun ke tahun berbanding penguncupan sekitar 11 peratus yang dicatatkan tahun lalu.

Katanya, pakej rangsangan berskala besar yang dilaksanakan kerajaan juga akan memberi rangsangan kukuh kepada ekonomi secara keseluruhan dan manfaatnya akan dinikmati dalam pasaran saham domestik termasuk berkaitan pembinaan.

“Bagi tahun ini, pergerakan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan disokong sektor khusus termasuk kewangan, perladangan serta minyak dan gas (O&G). Tidak lupa juga kaunter sarung tangan juga akan terus memacu pertumbuhan dan kemampanan Bursa Malaysia pada 2021.

“Pemulihan harga minyak sawit dan minyak mentah juga dilihat menjadi pendokong untuk Bursa Malaysia bergerak ke arah mencapai sasaran yang ditetapkan kami iaitu 1,830 mata menjelang akhir tahun,” katanya pada takilmat media secara maya mengenai Unjuran Malaysia 2021  hari ini.

Turut serta ialah Ketua Ekonomi Maybank IB, Suhaimi Ilias dan Ketua Penyelidik Bersama Minyak dan Gas Serantau Maybank IB, Liaw Thong Jung.

Mengulas lanjut, Pathmakanthan berkata, sistem perbankan Malaysia menerima banyak kecairan berikutan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan sekitar 125 mata asas keperluan rizab berkanun (SRR) tahun lalu.

Sebagai contoh, katanya, nisbah kecairan tinggi dalam sistem perbankan dengan kebarangkalian hasil secara puratanya yang lebih tinggi untuk mendorong pemulihan dalam pendapatan korporat.

“Pasaran ekuiti kekal menjadi pelaburan alternatif yang berdaya maju dan menawarkan pulangan lebih tinggi berbanding kadar simpanan tetap,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, Malaysia perlu menyelesaikan segera beberapa isu berkaitan politik dan ketidaktentuan dasar yang menjadi pertimbangan pelabur asing sebelum menyuntik sebarang pelaburan ke negara ini.

“Malaysia perlu mengharmonikan dasar termasuk membabitkan insentif pelaburan untuk menarik pelabur langsung asing (FDI). Persekitaran sekarang menyebabkan pelabur terus mengamalkan dasar tunggu dan lihat,” katanya.

Mengenai prospek ringgit, Suhaimi berkata, mata wang Malaysia itu dijangka mencecah paras 3.9 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhr tahun disokong unjuran sederhana pasaran AS termasuk isu ketegangan perdagangan AS-China.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker