Rumah ranap sebaik penghuni keluar

KEADAAN tanah runtuh yang mengakibatkan dua buah rumah rosak di Taman Gambang Damai. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
KEADAAN tanah runtuh yang mengakibatkan dua buah rumah rosak di Taman Gambang Damai

 

KUANTAN: “Hanya selepas kira-kira tiga jam saya sekeluarga meninggalkan rumah malam tadi, runtuhan berlaku hingga meranapkan keseluruhan kediaman kami,” kata Suhaimi Yunus, 51.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam tengah tadi, dua unit rumah berkembar di Lorong 29, Taman Gambang Damai, di sini musnah, apabila runtuh dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah yang terletak di cerun bukit.

Suhaimi berkata, kesan retak serius berlaku pada kabinet dapur apabila beberapa kepingan jubin rumahnya tertanggal petang semalam, petunjuk itu menimbulkan rasa bimbang dia sekeluarga sebelum segera berpindah.

Katanya, dengan bantuan rakan, dia berjaya mendapatkan rumah sewa yang terletak di Taman Gambang Damai Satu, tidak jauh daripada rumahnya.

“Malam tadi saya sekeluarga dibantu 20 jiran memindahkan sebahagian kecil barangan seperti peti sejuk, mesin basuh dan beberapa peralatan lain. Kami bercadang untuk menyambung kerja memindah pagi ini.

 

 

 

“Namun saya tidak menyangka episod memilukan awal tahun baharu berlaku tanpa diduga, hanya dalam sekelip mata rumah yang saya sekeluarga duduki sejak empat tahun lalu menyembah bumi.

“Saya anggarkan kerugian lebih RM400,000 ditanggung kerana banyak barang dan peralatan musnah di bawah timbunan rumah yang runtuh,” katanya ditemui di tempat kejadian hari ini.

Beliau yang bertugas sebagai pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang di sini, berkata walaupun kehilangan harta benda dalam sekelip mata, namun dia tetap bersyukur tidak berlaku kemalangan jiwa dalam kalangan ahli keluarga.

Suhaimi berkata, dia tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya kami sekeluarga berada dalam rumah ketika runtuhan berlaku yang difahamkan berlaku begitu cepat, kehilangan nyawa mungkin berlaku.

Tambahnya lagi, rekaan rumah berkenaan meletakkan bilik di bahagian belakang dan dapur di depan, kami sekeluarga pasti tertimbus bawah timbunan rumah kerana kejadian berlaku awal pagi.

Katanya lagi, semalam dua kali dia membuat aduan kepada pihak berkuasa terutama selepas kejadian retakan pada lantai depan rumah dan jubin kabinet dapur tertanggal namun tidak sempat sebarang tindakan dilakukan.

“Kejadian yang berlaku seolah mimpi ngeri yang tidak pernah diduga, keseronokan berteduh di rumah yang selesa dan suasana menarik kini hanya tinggal kenangan sahaja.

“Saya sekeluarga kini begitu takut melihat rumah yang berada di lereng bukit,” katanya yang berharap mendapat pembelaan daripada pihak berwajib.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker