Zulkifli terima kunjungan PU Riz dan pendakwah realiti TV

Sebaran :


“Saya mahu anda semua menjadi intelektual Muslim dan ikon belia yang dibanggakan umat Islam di Malaysia,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Nasihat oleh Zulkifli itu ditujukan kepada pendakwah daripada rancangan realiti TV Imam Muda (IM), Pencetus Ummah (PU) dan Dai Milennia.

Menerusi perkongsian di laman sosialnya hari ini, Zulkifli berkongsi beberapa keping gambar mengenai kehadiran pendakwah berkenaan yang berkunjung ke kediamannya.

“Tiada apa yang ingin dinasihatkan melainkan saya berpesan kepada mereka untuk tetap di atas jalan yang diredhai Allah.

“Dunia dakwah hakikatnya tidak sekadar apa yang dizahirkan di Instagram, Facebook, Twitter hatta TikTok.

“Realiti di luar sana jauh lebih berat dengan 1,001 cabaran yang menanti,” katanya.

Zulkifli berkata, populariti, kemasyhuran dan pujian hanya nikmat sementara yang amat ditakuti golongan salafussoleh.

Menurutnya, beliau merakamkan tahniah kepada barisan pendakwah yang sedang menyambung pengajian peringkat Sarjana dan PhD, jua yang telah memilikinya.

“Itu adalah sejuzuk tanda komitmen anda kepada ilmu.

“Tekunilah kitab Thaqafah al-Da’iyyah oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Humum Da’iyyah oleh Syeikh Dr. Muhammad al-Ghazali.

“Sibukkan diri kita dengan melengkapkan diri dengan ilmu dan amal kerana anda telah mewaqafkan diri anda untuk ummah. Tahun 2021, kita mulakan buku baharu,” katanya.

Antara yang hadir mengunjungi Zulkifli ialah IM Asyraf, IM Hizbur, IM Hassan, IM Fakhrul, PU Riz, PU Salman, PU Hafiz, PU Rahmat, PU Amin, PU, Akram, PU Syed, Dai Fuad, Dai Aiman, Dai Hazman, Dai Afiqah dan Dai Wan. K online


Sebaran :

Leave a Reply