Pesakit cirit-birit akibat ‘makanan basi’, pengesanan kontak lambat

 

Sejumlah pesakit Covid-19 di Lembah Klang mengalami masalah ketika rawatan, kesukaran dalam soal pengangkutan ke pusat kuarantin dan berdepan keadaan yang kurang baik di sana.

Temu bual Malaysiakini dengan pesakit Covid-19 menunjukkan respons Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap wabak ini juga dijejaskan oleh penangguhan pengesanan kontak.

Keadaan ini berlaku di saat jumlah kes aktif di Kuala Lumpur dan Selangor mencecah lebih 13,000 kes.

Enam pesakit yang dihubungi Malaysiakini memberitahu, mereka menunggu di rumah selama beberapa hari selepas didapati positif untuk dibawa ke pusat rawatan.

Kesemuanya dimasukkan pada Disember. Ada yang tidak menerima panggilan pengesanan kontak dan membuat inisiatif sendiri untuk melaksanakannya.

Ada juga yang menerima panggilan hanya setelah mereka didiscaj.

Sementara itu, mereka yang ditempatkan di Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh membangkitkan beberapa keadaan kurang menyenangkan di sana.

Menurut mereka, beberapa ratus ringgit perlu dibelanjakan untuk penghantaran makanan kerana bimbang dengan tahap keselamatan makanan di pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah.

Ketika artikel ini diterbitkan, KKM belum memberi maklum balas terhadap dakwaan ini.

 

Buat pengesanan kontak sendiri

Pesakit Covid-19 berusia 25 tahun, Lia (bukan nama sebenar) didiscaj pada 29 Dis.

Setakat 1 Jan, dia berkata tidak menerima sebarang panggilan daripada pejabat kesihatan daerah (PKD) berkenaan pengesanan kontak. Dia disahkan positif ada 20 Dis.

Pemuzik itu menceritakan bagaimana dia membuat sendiri pengesana kontak dengna memaklumkan orang yang ditemuinya sejak dua minggu sebelum disahkan positif, untuk memberitahu tentang perkara itu.

Daripada semua kontak rapat yang dihubunginya, seorang individu didapati positif.

“Ini sangat membimbangkan sebab inilah caranya anda mengekang virus, dengan buat pengesanan kontak dan pastikan semua membuat ujian dan jalani kuarantin,” katanya.

Izzah Batrisyia pula terkejut ketika menerima panggilan pengesanan kontak pada 29 Dis – sepuluh hari setelah dia didapati positif. Ketika itu, dia telah didiscaj.

Lebih mengejutkan dirinya apabila pegawai kesihatan seperti tidak tahu tentang jangkitannya, sebaliknya memberitahu yang dia merupakan kontak rapat seorang lagi pesakit.

“Pengesanan kontak sepatutnya hal pertama yang dibuat…Tapi saya hanya terima panggilan selepas sepuluh hari dan mereka tidak tahu pun saya positif Covid-19,” katanya.

Takrifan kontak rapat adalah individu yang terdedah dengan pesakit Covid-19 selama sekurang-kurangnya 15 minit, dengan jarak kurang semeter, ada kontak fizikal dengannya dan tidak memakai pelitup muka.

 

Covid-19 dan cirit-birit

Lia dan Izzah dirawat di ILKMM, sebuah kolej latihan yang dijadikan pusat rawatan bagi pesakit tidak bergejala dan bergejala ringan sejak Okt lalu.

Terletak bersebelahan dengan Hospital Sungai Buloh, bangunan hostel dijadikan wad lelaki dan perempuan. Setakat 28 Dis, 71 peratus (1,918) daripada 2,700 katil di situ digunakan.

Pesakit diberi makan empat kali sehari tetapi turut dibenarkan memesan makanan dari luar. Penghantaran dibenarkan antara 10 pagi hingga 12 tengah hari dan lima hingga tujuh petang, dan tertakluk kepada beberapa peraturan.

Lia mula memesan makanan dari luar selepas beberapa pesakit mengadu menerima makanan basi dan ada yang mengalami sakit perut.

Katanya, dia kehilangan deria rasa dan bau sejak dijangkiti Covid-19 dan maka bergantung kepada pesakit lain untuk memastikan makanan yang diterima selamat atau tidak.

Lia menjangka membelanjakan lebih RM200 untuk memesan makan selama enam hari di sana.

Begitu juga dengan Marliana Umar, 36, yang membelanjakan RM800 untuk makan an baginya, seorang saudara dan beberapa pesakit sepanjang lapan hari dia dirawat di ILKKM.

Dia memberitahu Malaysiakini yang dia memutuskan untuk membeli sendiri makanan walaupun dengan kos yang tinggi setelah mengalami cirit-birit pada hari pertama di sana.

“Ramai juga yang alami cirit-birit,” dakwanya.

Pesakit di ILKKM memberitahu makanan di sana dibekalkan oleh Hotel Tabung Haji Kelana Jaya. Mereka juga memberitahu begitu ramai yang memesan makanan dari luar menyebabkan barisan panjang di luar ILKKM setiap hari.

Menurut mereka, ada yang tidak sempat mengambil makanan kerana ia tidak dapat dihantar ketika waktu yang dibenarkan.

Susulan itu, beberapa ahli keluarga pesakit di sana membangkitkan perkara itu di media sosial, malah ada yang membuat kempen sumbangan untuk menghantar makanan kering di sana.

Berbeza dengan yang lain, Nur Shahira Sofea Abdul Rahim, 24, tidak memesan makanan kerana kos yang tinggi.

 

Dia juga hilang deria bau dan rasa akibat virus dan hanya dapati makanan tidak lagi boleh dimakan daripada pesakit lain.

Selepas cirit-birit, dia memutuskan untuk hanya memakan makanan kering tetapi pada masa sama tetap mengambil makanan yang dibekalkan.

“Saya tak mampu nak beli makanan setiap masa. Caj penghantaran tinggi dan nak menunggu menyusahkan.

“Jika saya tak boleh tahan makanan yang diberi, saya makan mi segera dan biskut yang dibawa,” katanya yang bekerja di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

 

Bantuan dan bekalan terhad

Selain keselamatan makanan, pesakit ILKKM turut membangkitkan keadaan bilik mandi yang tidak disanitasi dengan baik.

Menurut Lia, dia mendapati apa yang kelihatan seperti kesan darah di lantai ruang mandi. Beberapa lagi menyatakan tentang tandas di sebuah blok pesakit perempuan yang sentiasa basah dan tersumbat.

Menurut Izzah, kakitangan ILKKM tidak banyak membantu apabila adik perempuannya, yang ditempatkan di wad sama, mengalami sesak nafas – salah satu gejala Covid-19.

Syahirah Adnan, 34, pula berkata kakitangan gagal membantu ibunya yang berusia 60 tahun ketika dia mengalami serangan asma di wad.

Menurutnya, mereka terpaksa menunggu beberapa jam untuk ambulans membawa ibunya di Hospital Sungai Buloh yang terletak bersebelahan

Sementara itu, Lia, Marliana dan seorang lagi pesakit, Wan Arif Iskandar Adnan, 23, berkata pusat itu sudah kehabisan bekalan seperti selimut dan bantal ketika mereka tiba.

Mereka perlu menunggu beberapa hari sebelum bekalan baru tiba.

Lia juga membangkitkan tentang kekurangan pelitup muka pembedahan walaupun kakitangan dan pesakit diwajibkan memakainya pada setiap masa.

 

Pemindahan ketika kuarantin

Bagi Syahirah, minggu lalu cukup mencabar buat keluarganya. Lapan ahli keluarganya disahkan positif pada 25 Dis.

Dia ibunya telah ditempatkan di empat pusat berbeza – kebanyakannya atas permintaan mereka disebabkan keadaan kesihatan ibunya.

Dua lagi ahli keluarganya dipindahkan tiga kali atas arahan KKM.

Dia mempersoalkan sebab di sebalik arahan itu, dan mengatakan ia sangat menyukarkan terutama untuk pesakit yang perlu menjaga kanak-kanak atau warga emas.

“Saya terpaksa mendukung ibu dan membawa semua barangnya. Tiada siapa yang menolong tapi kami faham kerana kami pesakit Covid-19.”

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menafikan dakwaan sistem penjagaan kesihata di Lembah Klang berdepan masalah kekurangan katil atau kesukaran dalam menampung kes.

 

Lebih banyak katil telah ditambah di pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah di Malaysian Agro Exposition Park Serdang (Maeps) sebagai persediaan untuk berdepan peningkatan kes.

Dengan 6,132 katil buat masa ini, KKM merancang untuk menambah jumlah katil di Maeps kepada 10,000 buah.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker