Harga emas cecah paras tertinggi dua bulan
Harga emas meningkat melepasi AS$1,900 seauns untuk mencapai paras tertingginya dalam tempoh hampir dua bulan, disokong oleh kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) selepas mencatatkan peningkatan tahunan terbesar dalam tempoh sedekad.
Harga perak juga meningkat pada dagangan hari pertama tahun baharu, sementara platinum melonjak ke harga paling mahal sejak 2016.
Rali yang dicatatkan logam berharga itu adalah pengukur kepada mata wang Amerika Syarikat (AS), yang menghampiri paras terendahnya sejak 2018.
Peningkatan dalam aset lindung nilai tradisi itu berlaku meskipun saham AS dan global berada pada paras tertinggi dalam sejarah.
Ia di tengah-tengah jangkaan bahawa pengedaran meluas vaksin pada 2021, sokongan bank pusat dan bantuan kerajaan akan merangsang semula pertumbuhan ekonomi dan memacu keuntungan korporat.
Kontrak semasa emas meningkat setinggi satu peratus kepada AS$1,917.05 seauns, tertinggi sejak 9 November dan didagangkan pada AS$1,916.53 pada pagi ini di Singapura dengan Indeks Spot Dolar Bloomberg susut 0.1 peratus.
Pada 2020, harga emas meningkat 25 peratus.
Harga perak meningkat sebanyak 2.8 peratus dan platinum mencecah AS$1,085.31 seauns, tertinggi sejak September 2016.
Peningkatan emas baru-baru ini juga disokong oleh penurunan semula hasil benar AS, yang menarik minat terhadap logam berharga itu.
Hasil benar iaitu perbezaan antara penanda aras nominal hasil bon dan kadar inflasi, berada pada paras -1.092 peratus pada Jumaat lalu.
Mengenai perkembangan COVID-19, kes harian di AS melonjak kepada hampir 300,000 selepas musim cuti, dengan kes global mencecah 85 juta.
Pelaksanaan vaksin di AS semakin dipercepatkan dan akan berada dalam landasan sepenuhnya dalam masa seminggu lagi, kata pakar penyakit berjangkit utama negara itu, Anthony Fauci.
Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson, pula berkata langkah sekatan lebih ketat di England, termasuk penutupan sekolah mungkin diperlukan kerana kes varian baharu virus itu semakin meningkat. Bloomberg
Perbelanjaan umat Islam dianggarkan cecah US$2.02 trilion pada 2019