Perbelanjaan umat Islam dianggarkan cecah US$2.02 trilion pada 2019

Perbelanjaan ke atas sektor ekonomi Islam merentasi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, fesyen, perjalanan dan media/rekreasi oleh 1.9 bilion umat Islam dianggarkan berkembang 3.2 peratus tahun ke tahun kepada US$2.02 trilion pada 2019, menurut Laporan Ekonomi Islam Global 2020/21 oleh DinarStandard.

Laporan itu berkata ekonomi Islam global terus disokong oleh lapan pemacu utama, termasuk populasi umat Islam yang ramai dan berkembang, peningkatan kepatuhan terhadap nilai-nilai etika Islam mempengaruhi penggunaan, dan semakin banyak strategi nasional yang dikhaskan untuk pengembangan produk dan perkhidmatan halal.

Selain itu, laporan itu menganggarkan bahawa nilai aset kewangan Islam meningkat 13.9 peratus kepada US$2.88 trilion pada 2019 berbanding US$2.52 trilion pada 2018.

“Pandemik ini diramalkan akan mengakibatkan penurunan perbelanjaan Islam global sebanyak lapan peratus pada 2020 bagi sektor ekonomi Islam yang diliputi dalam laporan ini.



“Semua sektor ini, kecuali perjalanan, dijangka kembali ke tahap perbelanjaan pra-pandemik menjelang akhir 2021,” kata laporan itu.

Perbelanjaan umat Islam juga dijangka mencecah US$2.4 trilion menjelang 2024 pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) bagi lima tahun sebanyak 3.1 peratus.

Sementara itu, pelaburan dalam sektor berkaitan ekonomi Islam di seluruh negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pasaran terpilih bukan OIC susut 13 peratus kepada US$11.8 bilion pada 2019/20 daripada US$13.6 bilion pada 2018/19, dengan Indonesia, Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu menyaksikan jumlah pelaburan tertinggi.

Bilangan penggabungan dan pengambilalihan yang relevan, ekuiti persendirian dan urus niaga modal teroka juga turun kepada 156 pada 2019/20 daripada 197 pada 2018/19. BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker