Umno Putrajaya suarakan sokongan terhadap Muhyiddin
Umno Bahagian Putrajaya hari ini membuat ketetapan menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri walaupun terdapat gesaan agar parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu.
Ketuanya Tengku Adnan Tengku Mansor berkata bahagian itu juga meminta semua Ahli Parlimen Umno untuk meneruskan kerjasama dengan PN.
“Tidak ada kata-kata kononnya jangan sokong kepimpinan Muhyiddin dan sebagainya kerana saya sendiri tahu bahawa kita yang minta Muhyiddin jadi Perdana Menteri dan Umno sepatutnya dukung kerana telah menubuhkan kerajaan bersama Muhyiddin.
“Saya amat hairan yang menyuarakan masalah-masalah ini (tidak sokong) adalah orang-orang yang kalah bukan yang menang (pilihan raya), jadi saya harap jangan keruhkan situasi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya hari ini.
Dia berkata bahagian itu juga kekal dengan ketetapan menolak kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, DAP dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad seperti yang diputuskan Majlis Tertinggi Umno sebelum ini.
Ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa 143 daripada 191 bahagian parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu, Tengku Adnan berkata bahagian terbabit mungkin mengalami sedikit pergeseran yang boleh diperbaiki.
“Presiden sebut oleh kerana akar umbi telah sebut tetapi saya berkeyakinan jika Presiden dan Majlis Tertinggi duduk bersama-sama dengan biro politik, kita boleh perbaiki keadaan untuk beri satu kesinambungan kerana saya berharap Bersatu dan Umno satu hari nanti bercantum balik,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya semasa mesyuarat itu, Tengku Adnan yang juga ahli Parlimen Putrajaya berkata dia merupakan antara individu yang terlibat menjatuhkan kerajaan PH dan meminta Muhyiddin menerajui kerajaan.
“Ini kerana saya tahu apa yang kita lakukan adalah demi agama, bangsa dan negara, dan yang penting agama Islam dan Orang Melayu, itu kepentingan kita untuk kebaikan agama, bangsa dan agama,” katanya.
Mengenai desas-desus bahawa Hishammuddin Hussein akan meninggalkan Umno, Tengku Adnan berkata dia percaya bendahari agung BN itu seorang yang rasional dan akan terus bersama dengan Umno.
“Jangan kita ada syak wasangka kerana macam-macam yang ditulis (di media sosial), ini durjana yang paling besar, kadang-kadang saya tak baca pun,” katanya.
–Bernama