Penduduk bimbang tragedi banjir besar 2006 berulang

KOTA TINGGI – Penduduk di sekitar bandar Kota Tinggi mulai bimbang berikutan banjir yang melanda daerah ini yang dilihat agak luar biasa berbanding tahun sebelumnya.

Penduduk Taman Aman, Mohd. Azizie Kassim, 45 berkata, hujan lebat semalam yang turun berterusan dalam masa satu jam menyebabkan kediamannya mula dinaiki air susulan limpahan air dari Sungai Pemandi.

KEADAAN banjir di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Katanya kawasan perumahannya biasa dilanda banjir lebih-lebih lagi apabila berlaku hujan lebat berterusan ditambah pula adanya fenomena air pasang.

“Sejujurnya semua orang bimbang termasuklah saya kerana situasi sekarang ini tidak seperti selalu kerana kali ini seluruh Kota Tinggi diberitakan ada lokasi penempatan banjir.

“Limpahan air akibat empangan penuh juga dipercayai menjadi punca berlakunya banjir di setiap arah.

“Jika empangan tidak dibuka berperingkat pasti akan pecah dan tidak mustahil peristiwa banjir 2006, 2007 akan berulang yang mana Kota Tinggi akan tenggelam sekali lagi,”katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi peniaga, Radin Mazuwin Zakarya, 28 berkata jika hujan berterusan keadaan banjir akan menjadi lebih teruk.

Katanya, dia mendapat maklumat tentang banjir yang berlaku dikedai makan keluarganya itu pagi tadi selepas dihubungi kenalan.

“Pagi tadi dalam pukul 8 pagi air sampai paha petang air sudah sampai pinggang. Selepas dapat tahu kedai dinaiki air kami terus bergegas ke kedai untuk menyelamatkan barang elektrik terutama peti ais namun air tetap naik tinggi dan kami tidak boleh berbuat apa-apa,”katanya.

Jelasnya, kedai yang diusahakan sejak lebih 10 tahun itu penah dua, tiga kali dilanda banjir bahkan keluarganya pernah merasai pengalaman berdepan bah besar pada 15 tahun lalu.

“Dulu kami tinggal di Kampung Tembioh selepas banjir besar meneggelamkan Kota Tinggi kami dipindahkan di penempatan baru.

“Banjir kali ini agak teruk meskipun air tidak naik selaju seperti tahun 2007 dahulu kerana ketika itu kami langsung tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa namun kami tetap khuatir jika berlaku banjir besar yang sama,”katanya.-K! ONLINE

Penduduk Kota Tinggi Rayu Bantuan Makanan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker