Penduduk Kota Tinggi Rayu Bantuan Makanan

KOTA TINGGI: Para penduduk daerah ini yang memakai gelang susulan kewujudan Kluster Padang merayu bekalan makanan sepanjang mereka berada dalam tempoh kuarantin wajib di rumah.

Rata-rata penduduk terjejas bekerja sebagai nelayan, petani dan peniaga kecil serta hanya bergantung kepada pendapatan harian manakala arahan kuarantin menyukarkan mereka untuk keluar mencari pendapatan.

DARI kiri: Amira Shafiqqah Amir, Siti Meriam Yusuf dan Siti Nursyahadah Nasir yang memakai gelang biru termenung di dalam rumahnya akibat tidak dibenarkan keluar dalam tempoh kuaratin rumah selama dua minggu di Kampung Sedili Kecil, Kota Tinggi, Johor hari ini. – FOTO/RAJA JAAFAR ALI

Menurut petani, Nasir Abdul Manap, 58, dia kini bergantung kepada bekalan makanan dan simpanan wang sedia ada serta kini perlu menanggung tujuh anak.

“Pendapatan saya sebagai kalau ikutkan berdasarkan gaji harian antara RM40-50 sehari. Kalau ada kerja, maka ada gaji. Jika tiada kerja, tiadalah gaji.

“Lagi-lagi kena kuarantin di rumah, macam mana hendak kerja. Kalau langgar arahan, kena denda RM1,000 pula. Jadi saya harap sangat bantuan makanan daripada pihak kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dia merupakan antara penduduk Kota Tinggi yang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah setelah melakukan ujian pengesanan Covid-19 ekoran tercetusnya Kluster Padang pada awal bulan ini.

Sehingga kini, kluster itu telah merekodkan 34 jangkitan dan angka tersebut dijangka bertambah selepas ujian pengesanan secara besar-besaran dilakukan semalam.

Seorang nelayan, Shaharudin Sulung, 43, walaupun dia akur dengan arahan tersebut namun bimbang kerana bekalan keperluan hanya cukup makan sahaja.

Katanya lagi, persepsi dan stigma kepada pemakai gelang kuarantin telah menyebabkan mana-mana pihak enggan bertemu untuk memberikan sumbangan kepada mereka.

“Ramai ingat kami pembawa Covid-19 meskipun kami sedang dikuarantin sahaja. Memang tidak boleh jumpa secara dekat-dekat, tetapi asalkan dalam keadaan jauh.

“Ini pula nak lalu depan rumah pun takut sedangkan kedudukan satu sama lain jauh. Sikap sebegini menyebabkan kami terasa disisih dan dipinggirkan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain menyampaikan barang keperluan kepada penduduk yang sedang menjalani kuarantin wajib di rumah. – UTUSAN

Tolong duduk di rumah dua minggu ini, rayu Dr Noor Hisham

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker