Op Ambang 2021: 95 individu ditahan atas kesalahan trafik
Kesalahan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol,
KUALA LUMPUR, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Seramai 95 individu ditahan atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Ambang Tahun Baharu yang dijalankan oleh polis di 117 lokasi di seluruh negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, kesalahan trafik itu termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol serta memandu secara melulu dan membahayakan.
“Objektif utama operasi ialah untuk mengurangkan kadar kemalangan terutama kemalangan maut selain memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan dan undang-undang lalu lintas.
“Polis dalam pada itu turut menahan 31 individu kerana terbabit dalam kesalahan jenayah dan dadah semasa operasi berkenaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nadzri berkata, kesalahan jenayah dan dadah berkenaan membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah.
Beliau berkata, operasi itu turut menyaksikan 9,668 notis saman dikeluarkan manakala 87 buah kenderaan disita atas pelbagai kesalahan. -Bernama