Menjauhi sumber konflik dalam perkahwinan

SAYA suka juga mengikuti laman isu-isu rumahtangga, yang dikatakan lubuk ‘mak-mak’ bergosip untuk menjadi pemerhati sebagai data simpanan saya. Walaupun kata orang, ‘nanti awak teremosi sama’. Saya abaikan saja.

Sebenarnya di setiap masalah yang diceritakan (setakat yang pernah saya baca), ada panduan agamanya. Bahkan terkait ilmu seksologi juga Islamlah jaguhnya. Apapun, semuanya harus berbalik pada agama. Rujuk pada yang pakar sekiranya kurang tahu.

Setelah meneliti beberapa tulisan, saya mendapatkan senarai antara asbab mengapa pasangan itu bercerai, iaitu:



(1) Kurang sefahaman. (Ini sering menduduki tempat pertama).
(2) Kecurangan.
(3) Campur tangan mertua.
(4) Pasangan tidak menunaikan tanggungjawab.

Menyentuh faktor kurang sefahaman, merupakan satu label yang amat besar, ia boleh mewakili banyak isu dalam perkahwinan. Bermula dari masalah komunikasi sehinggalah masalah seksual. Termasuk juga kebuntuan dalam mencari penyelesaian masalah, terangkum dalam faktor ini. Gagal dalam mengendalikan konflik ini dengan berkesan, boleh membawa kepada pembubaran perkahwinan (yakni penceraian).

Yang hangat juga terkait isu ‘parenting’, didepani wanita suri rumahtangga mahupun bukan. Menangani keperluan dan kerenah anak masa kini memerlukan kepandaian yang ‘advance’ seiring dengan kemajuan teknologi komunikasi yang dikatakan sebagai punca pelbagai masalah dalam tingkah laku dan disiplin anak.

Di sinilah pentingnya peranan bersama berganding bahu dengan suami. Sebagai bapa, perlulah juga seiring dengan peranan ibu dalam mengendalikan hal ehwal anak-anak. Ingatlah pesan al-Imam Ibnul Qayyim, bahawa peranan seorang ayah juga sangat berat. Seorang ayah yang leka boleh memberikan kesan terhadap kerosakan anak-anaknya:



فَمَا أفسد الْأَبْنَاء مثل تغفل الْآبَاء وإهمالهم

“Tidaklah yang lebih merosakkan anak, berbanding kelalaian dan pengabaian daripada ibu bapa mereka.”

Malah tidak dinafikan, hal ini telah dibuktikan dengan kajian bahawa kuat sekali pengaruh bapa terhadap anaknya. Figura ayah beri peranan besar dalam membentuk sikap, tingkah laku, emosi dan IQ anak.

Apa pun amat mudah menuding jari, mencari kesalahan masing-masing jika sebuah perkahwinan tidak berjalan lancar. Tetapi pada hakikatnya, kejayaan sesebuah perkahwinan itu terletak pada kerjasama erat antara pasangan suami dan isteri yang komited untuk menjayakan perkahwinan mereka.



Itulah juga punca mengapa kecelaruan isu keluarga di Barat berada di tahap kronik, solusi mereka hanyalah dengan mengangkat tinggi isu rights yang didasari akal Humanism dan Individualism semata-mata, tidak memikirkan soal masa depan moral dan akhlak anak-anak. Dan pastilah tidak mendatangkan solusi yang baik. Islam juga yang mendatangkan solusi yang best.

Dan akhir sekali, hasil yang diharapkan dari sebuah rumahtangga Islam ialah tidak lain dan tidak bukan, melahirkan keturunan yang soleh, sepertimana firman Allah S.W.T:

والذين يقولون ربنا هب لنا من أزواجنا وذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما

“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”



(al-Furqan: 74)

AINNUR UKHTA UWAIS

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker